Rumah mayat di Hong Kong penuh sehingga pertengahan April

Astro Awani
Mac 13, 2022 07:45 MYT
Rumah pengurusan mayat telah ditempah sepenuhnya dan kebanyakannya tidak mempunyai slot sehingga pertengahan atau akhir April. -Gambar hiasan
RUMAH pengurusan mayat di Hong Kong telah ditempah sepenuhnya sehingga pertengahan April susulan peningkatan kematian akibat COVID-19.
Memburukkan keadaan apabila tempoh pemprosesan dokumen kematian yang mengambil masa lama dan penggantungan upacara perpisahan ringkas di hospital.
Pihak berkuasa hospital dalam pada itu turut mengesahkan gambar yang menunjukkan beberapa beg mayat diletak di sebelah pesakit di wad yang tular di media sosial.
Menurut pihak berkuasa, gambar itu diambil sebelum ini dan pihak hospital telah memohon maaf kepada pesakit atas apa yang berlaku dan berkata masalah itu telah dibetulkan.
Pengerusi kumpulan industri Persatuan Perniagaan Pengebumian, Kwok Hoi-bong berkata kerajaan perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menyelesaikan kesesakan.
"Walaupun kerajaan telah meningkatkan kapasiti insinerator untuk pembakaran mayat kepada antara 260 dan 280 mayat sehari, ia tidak meliputi kawasan lain," katanya dalam satu rancangan radio.
Kwok, yang menghadiri mesyuarat dengan pegawai kerajaan pada Khamis berkata rumah pengurusan mayat telah ditempah sepenuhnya dan kebanyakannya tidak mempunyai slot sehingga pertengahan atau akhir April.
Hanya 121 dewan pengebumian disediakan di bandar ini, katanya, tetapi purata kematian harian mencecah 200 orang.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu membenarkan upacara pengebumian ringkas dilakukan di dewan khidmat dalaman di hospital awam untuk keluarga memberika penghormatan terakhir.
Sejumlah 24 hospital di bawah pihak berkuasa digunakan untuk menawarkan "perkhidmatan perpisahan" dengan menyediakan sebuah bilik kecil buat saudara-mara mengadakan upacara peringatan ringkas.
Mayat kemudiannya dibawa terus ke krematorium atau tanah perkuburan.
Ini boleh memendekkan prosedur pengebumian, kata Kwok, sambil menambah: "Sesetengah hospital pada asalnya berkata ya, tetapi tidak kemudiannya, yang merupakan satu lagi tamparan kepada keluarga."
Ini bermakna sesetengah keluarga akan diminta menunggu beberapa hari untuk perkhidmatan dijalankan di rumah pengebumian, yang mempunyai masa menunggu yang panjang.
Masalah lain ialah kegagalan kerajaan mengeluarkan sijil kematian dengan segera, kata Kwok.
Purata masa yang diambil telah meningkat daripada tiga hingga empat hari kepada enam hingga lapan hari semasa wabak, tambahnya.
Pengurus Rumah Pengebumian Kowloon di Tai Kok Tsui, Leung Pak-wai berkata sesetengah ahli keluarga lebih suka menggunakan perkhidmatan perpisahan di hospital kerana terlalu berisiko untuk mengadakan majlis rasmi dan kini hanya sedikit yang akan hadir semasa wabak COVID-19.
Dia bersetuju masa menunggu yang lama untuk dokumentasi kematian telah menambah masalah sedia ada, dengan ada pelanggan yang terpaksa menunggu selama 10 hari.
Leung menambah penangguhan itu akan memberi kesan domino pada semua langkah berikutnya, dengan mayat disimpan lebih lama di rumah mayat yang sudah penuh.
Selain hospital, Leung berkata pelanggannya juga perlu mendapatkan sijil kematian dan perintah pembakaran mayat daripada jabatan berkaitan.
"Kami pernah mendapatkan dokumen dalam masa setengah jam tetapi kini kami perlu menunggu selama tujuh jam," kata Leung.
Ahli parlimen bagi kawasan pilihan raya kebajikan sosial, Tik Chi-yuen mencadangkan kerajaan meminjamkan penjawat awam, terutama pegawai eksekutif, ke hospital untuk mempercepatkan kerja pentadbiran seperti mengeluarkan dokumen berkaitan kematian.
“Nampaknya kesesakan itu kebanyakannya disebabkan oleh prosedur pentadbiran dan kerja, tetapi bukan masalah perubatan atau teknikal,” katanya.
Jurucakap pihak berkuasa berkata beberapa hospital telah menyediakan zon simpanan sementara untuk mayat dan menambah tenaga kerja untuk mengendalikannya.
Beliau menambah hospital mengeluarkan dokumen dalam masa dua hingga tiga hari selepas kematian pesakit, kecuali kes yang perlu dirujuk kepada koroner atau menjalani bedah siasat.
Jurucakap Jabatan Kesihatan berkata ia telah mengerahkan tenaga kerja tambahan dan melanjutkan masa kerja untuk mengatasi beban kerja yang semakin meningkat.
Sementara itu, Ketua Pengurus di pihak berkuasa, Dr Sara Ho Yuen-ha berkata jumlah kematian yang tinggi akibat komplikasi COVID-19 telah memberi tekanan yang besar kepada rumah mayat awam.
Mengulas gambar dalam talian yang menunjukkan mayat dalam beg disimpan di wad hospital bersama pesakit, beliau berkata pihak berkuasa akan mematuhi prinsip menghormati orang mati.
"Gambar diambil lebih awal, dan keadaan telah diperbetulkan.
"Pihak berkuasa sedang menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini... kami amat kesal kerana menyusahkan pesakit.
Rakan sekerja kami juga sangat tidak berpuas hati dengan situasi itu. Kami berharap semua orang memahami," kata Ho.
#Hong Kong #COVID-19 #pengurusan mayat #kes meningkat
;