'Rumah kami bergoyang sebelum menyembah bumi' - Mangsa gempa Turkiye
Hilmi Malik
Februari 16, 2023 16:21 MYT
Februari 16, 2023 16:21 MYT
GAZIANTEP: Itu pengalaman ngeri yang dialami Muhammad Nur Damlah ketika gegaran berukuran 7.8-magnitud membadai beberapa daerah di Turkiye dan Syria.
Menurut Muhammad Nur, sisa runtuhan bangunan di sekeliling kawasan rumahnya juga menggerunkan apatah lagi ada kebimbangan gempa bumi susulan yang akan berlaku.
"Kami masih lagi trauma untuk tinggal dan memilih untuk tinggal di kawasan lebih selamat," katanya.
“Keadaan sekeliling berisiko tinggi untuk kami diami,” kata Muhammad Nur.
Bercerita pengalaman peribadinya sewaktu gempa bumi berlaku pada awal pagi 6 Februari itu, Muhammad Nur sekeluarga menjadi saksi bangunan runtuh di kawasan perumahannya di daerah Gaziantep, Turkiye.
“Semasa kejadian, jiran mengetuk pintu rumah saya, sebelum saya lihat sendiri bangunan di luar rumah sedang runtuh. Kawasan rumah saya bergoyang ke kiri dan kanan dan di benak fikiran saya ketika itu, tiada yang akan terselamat,” katanya ketika ditemui wartawan Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Tanpa membuang masa, Muhammad Nur sekeluarga menyelamatkan diri ke sebuah kawasan tanah lapang tidak jauh dari kediaman mereka.
REDA DENGAN UJIAN DAN KETENTUAN ALLAH S.W.T
Reda dengan ujian dan ketentuan Allah S.W.T., Muhammad Nur sekeluarga terpaksa bermalam di bawah pokok selama dua hari sebelum menerima bantuan.
“Struktur kediaman kami memang sudah terlalu lama … kerajaan juga sudah memutuskan untuk runtuhkan semua bangunan.
“Kejadian kali ini memang benar-benar menakutkan kerana gegaran sebelum ini memang biasa kami rasai tetapi tidak seteruk ini,” tambahnya.
Setakat ini, angka korban sudah mencecah lebih 42,000 orang.