Rumah di kawasan perkuburan, "harmonikan" yang hidup dan si mati

Agensi
Januari 20, 2022 11:46 MYT
Bagi masyarakat yang tinggal di sebuah kawasan di Cirebon ini, di situlah tanah perkuburan dan di situ jugalah rumah mereka. - Foto YouTube/wekajournal
"RUMAH kata pergi, kubur kata mari"
Itu pepatah bagi menyifatkan insan yang mungkin tidak sedar diri bahawanya usianya telah meningkat naik.
Namun, apa yang ingin disifatkan tentang sebuah perkampungan yang terletak di Cirebon, Jawa Barat ini tidaklah mempunyai kaitan dengan peribahasa tersebut.
Cuma, bayangkan jika rumah yang didiami itu hanya sekangkang kera sahaja dengan kubur?
Bagi orang luar, ia pastinya memberikan satu suasana yang tidak selesa, tetapi bagi masyarakat yang tinggal di sebuah kawasan di Cirebon ini, di situlah tanah perkuburan dan di situ jugalah rumah mereka.
Malah, ada kubur yang betul-betul terletak di sebelah tangga atau pun di bahagian pintu masuk rumah kebanyakan penduduk di sini.
Pada Jun 2020, Tanah Perkuburan Kemlaten itu menjadi tular di laman YouTube milik wekajournal yang berkongsikan kisah "Kampung Menyatu Dengan Kuburan".
Ia kerana penduduk di kampung di sekitar tanah perkuburan itu seolah-olah tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kehidupan seharian dengan kubur-kubur yang ada di merata tempat.
Penduduk di situ juga tidak merasakan ia sesuatu yang aneh, malah pada sebelah petang, ada kelihatan kanak-kanak di kawasan kejiranan bermain sewaktu petang seperti ia merupakan taman perumahan biasa.
Lebih menarik, para penduduk di Cirebon itu kebanyakannya tidak tahu-menahu siapa penghuni kubur-kubur yang berada di situ.
Ini bermakna, mereka bukan sahaja melalui kawasan perkuburan sebelum memasuki ke pintu rumah, malah mereka juga tidak kenal jasad siapa yang ditanam di kawasan itu.
Perkampungan di situ dilaporkan telah mula dibina pada tahun 1991 dan kawasan tanah perkuburan itu dikatakan milik Kesultanan Cirebon.
#cirebon #tanah perkuburan #kawasan perumahan #jawa barat
;