Rumah agam Shah Rukh Khan dijadikan rumah penginapan

Agensi
November 20, 2020 08:09 MYT
Menerusi kempen itu, rakyat India berpeluang menyertai pertandingan bagi merebut peluang untuk merasai pengalaman yang turut dijadualkan oleh Gauri. -Foto Airbnb
RUMAH agam milik aktor ternama Bollywood, Shah Rukh Khan dan pasangannya Gauri di New Delhi, India bakal dijadikan rumah penginapan menerusi kempen “Home With Open Arms” pada 13 Februari 2021.
Ia sekali gus menjadikan kediaman milik pasangan popular itu sebagai selebriti Bollywood pertama yang menghoskan rumah penginapan melalui Airbnb.
Menerusi kempen itu, rakyat India berpeluang menyertai pertandingan bagi merebut peluang untuk merasai pengalaman yang turut dijadualkan oleh Gauri yang juga merupakan seorang pereka hiasan dalaman.
Ketika menginap di kediaman pasangan itu, pemenang yang bertuah juga akan berpeluang menikmati makanan kegemaran aktor tersebut dan menonton bersama filem yang dilakonkannya.
Pemenang yang bertuah juga akan menerima barangan peribadi keluarga tersebut sebagai cenderamata untuk dibawa pulang.
Pasangan itu kini menetap di Mumbai dan sering menggunakan kediaman di Delhi ketika melawat di bandar tersebut.
Kediaman yang direka sendiri oleh Gauri terletak di Panchsheel Park di Selatan Delhi.
Untuk menyertai, rakyat India perlu berkongsi apa makna ‘open arms welcome’ kepada mereka sebelum tarikh akhir pertandingan pada 30 November 2020.
Pemenang akan diumumkan pada 15 Disember depan.
#Shah Rukh Khan #Bollywood #New Delhi #India #Mumbai #open arms welcome #Home With Open Arms #rumah penginapan #Airbnb
;