RSF: Jumlah wartawan wanita terbunuh meningkat pada 2017

Agensi
Disember 19, 2017 07:02 MYT
Menurut laporan tahunan pertubuhan Reporters Without Borders (RSF), dari 10 wartawan wanita yang terbunuh, tiga daripada mereka dibunuh kerana laporan mereka. - Gambar fail
Lebih ramai wartawan wanita terbunuh sewaktu membuat bertugas dan membuat liputan sepanjang tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Menurut laporan tahunan pertubuhan Reporters Without Borders (RSF), dari 10 wartawan wanita yang terbunuh, tiga daripada mereka dibunuh kerana laporan mereka.
Jumlah itu juga adalah dua kali ganda dari bilangan wartawan wanita terbunuh tahun lepas.
Seorang daripada mereka adalah wartawan dari Mexico, Miroslava Breach Velducea pada bulan Mac yang ditembak sewaktu berjalan keluar dari rumahnya oleh penyerang yang masih belum dikenalpasti.
Daphne Caruana Galizia dari Malta pula adalah wartawan wanita kedua terbunuh tahun ini apabila sebuah bom yang dipasang di bawah keretanya meletup.
Sementara itu, tujuh wartawan wanita lain terbunuh sewaktu membuat laporan di kawasan konflik yang tinggi dan pertempuran.
Laporan itu turut menyebut kes pembunuhan wartawan dan pengkritik kerajaan yang lantang, Gauri Lankesh yang ditembak di kepala dan dada oleh tiga lelaki di hadapan rumahnya pada September lalu.
Sejak Januari tahun ini, 65 wartawan dari seluruh dunia terbunuh sewaktu membuat laporan.
Laporan RSF yang diterbitkan pada Selasa mengiktiraf tahun 2017 sebagai tahun paling kurang merbahaya untuk wartawan sejak 14 tahun kebelakangan ini.
Pemerhati media antarabangsa dari Perancis itu turut menyebut bahawa terdapat pengurangan kadar kematian wartawan berbanding tahun lalu yang mencatatkan 79 kehilangan nyawa.
Pada tahun ini, 39 dari wartawan yang terkorban dibunuh dan disasar oleh penyerang mereka kerana kandungan laporan mereka, sementara 26 wartawan lagi terbunuh sewaktu melaporkan konflik.
Ketua RSF bahagian Asia Barat, Alexandra El Khazen, dalam satu temubual bersama Al-Jazeera berkata walaupun jumlah wartawan terbunuh telah berkurang, keadaan berbahaya di wilayah itu kekal seperti sebelumnya.
“Kami masih sangat risau akan kesan konflik ini kepada nyawa wartawan yang melaporkan di lokasi,” katanya.
Bagi tahun keenam berturut-turut, Syria kekal menjadi negara dengan bilangan wartawan paling ramai terbunuh iaitu seramai 12 orang dan diikuti Mexico, 11 orang.
Menurut RSF, antara penyumbang utama kekurangan jumlah nyawa wartawan yang terkorban adalah disebabkan lebih ramai wartawan tahun ini yang memilih untuk tidak pergi ke kawasan merbahaya yang sedang mengalami situasi perang.
Tahun ini turut mencatatkan penurunan bilangan wartawan yang ditahan akibat laporan berita mereka.
Seramai 326 wartawan ditahan tahun ini berbanding 348 wartawan tahun lepas.
Sementara itu, pertubuhan Committee to Protect Journalists (CPJ) dalam laporan yang diterbitkan awal bulan ini mendedahkan bahawa terdapat 262 wartawan yang sedang dipenjarakan kerana laporan berita mereka pada tahun 2017.
Antaranya adalah wartawan Al-Jazeera sendiri, Mahmour Hussein, yang sudah dipenjarakan selama setahun di sebuah penjara di Mesir.
RSF turut menyenaraikan China dan Turki sebagai dua negara yang paling banyak memenjarakan wartawan tahun ini. 52 wartawan sedang dipenjarakan di Cina dan 42 wartawan di Turki.
Sementara itu, kadar tidak percaya masyarakat terhadap media juga dilaporkan semakin berkurangan terutamanya di negara yang mengamalkan demokrasi.
#Al Jazeera #Bangalore #Cina #Gauri Lankesh #India #RSF #Terbunuh #Turki #wartawan
;