Rover NASA temukan batu tunjuk kemungkinan kehidupan mikrob di Marikh
Bernama
Julai 27, 2024 04:30 MYT
Julai 27, 2024 04:30 MYT
WASHINGTON: Kenderaan Rover Perseverance Mars NASA telah menemukan batu berbentuk anak panah dengan ciri-ciri yang mungkin menunjukkan kehidupan mikrob berbilion tahun yang lampau di Planet Marikh, lapor Xinhua.
Semasa penerokaannya pada 21 Julai di Neretva Vallis, sebuah lembah sungai purba di Marikh, rover Perseverance menemui batu menarik yang dikenali sebagai "Cheyava Falls".
Pasukan sains Perseverance menganalisis batu berkenaan menggunakan sinar-X dan laser. Analisis mereka mendedahkan kehadiran urat kalsium sulfat putih, kawasan tengah berwarna kemerahan, dan tompok-tompok kecil berwarna putih di atas batu itu.
"Di Bumi, ciri-ciri seperti ini dalam batu sering dikaitkan dengan rekod fosil mikrob yang hidup di bawah permukaan," kata David Flannery, seorang ahli "astrobiologist" di Universiti Queensland Australia dan ahli pasukan sains itu.
Walaupun ciri-ciri yang diperhatikan pada batu itu mencadangkan kemungkinan kehidupan mikrob di Marikh semasa tempoh yang lebih panas dan lembap, penjelasan alternatif seperti suhu tinggi yang menjadikan persekitaran tidak boleh didiami tidak boleh diketepikan.
Untuk mengesahkan sama ada batu itu memang mengandungi bukti kehidupan mikrob, pemeriksaan lanjut di Bumi diperlukan.
Bagaimanapun, misi membawa pulang sampel Marikh NASA menghadapi cabaran, termasuk belanjawan terkurang dan kelewatan yang ketara, menyebabkan jangkaan penyelesaiannya ditolak ke tahun 2040-an.
Berikutan kekangan ini, NASA sedang giat meneroka pendekatan alternatif untuk mempercepatkan usaha membawa pulang sampel Marikh, dengan matlamat untuk mencapai tujuan ini lebih awal dan pada kos yang lebih rendah.
-- BERNAMA