Rombakan skim pencen: Penunjuk perasaan anjur mogok baharu di Perancis

Bernama
Jun 6, 2023 19:31 MYT
Pihak berkuasa menjangkakan sehingga 600,000 penunjuk perasaan berhimpun di seluruh negara pada Selasa. - Gambar/ AP
PARIS: Demonstrasi baharu dijadual diadakan di Perancis pada Selasa bagi membantah pembaharuan skim pencen Presiden Emmanuel Macron, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa menjangkakan sehingga 600,000 penunjuk perasaan berhimpun di seluruh negara pada Selasa.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding pada kemuncak protes beberapa bulan lalu.
Pindaan itu meningkatkan umur pencen minimum daripada 62 kepada 64 tahun dan memerlukan seseorang individu bekerja selama 43 tahun sebelum layak memperoleh pencen penuh.
Bagaimanapun, kesatuan sekerja dan beberapa ahli pembangkang berhasrat menghalang pelaksanaan rang undang-undang itu yang akan dikuatkuasa pada 1 Sept.
Pada Khamis, pembangkang cuba mencabar pelaksanaan undang-undang itu menerusi perundangan yang dilihat berpeluang tipis untuk berjaya.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, sebahagian mogok dan bantahan terhadap rombakan skim pencen bertukar menjadi ganas.
-- BERNAMA
#skim penden #skim pencen #Perancis #Emmanuel Macron
;