Rombakan baharu kabinet Australia
Astro Awani
Disember 21, 2014 22:37 MYT
Disember 21, 2014 22:37 MYT
Perdana Menteri Australia, Tony Abbott pada Ahad mengumumkan rombakan kabinet dalam usaha memberi nafas baru kepada pentadbirannya selepas setahun bergelut untuk mengukuhkan kedudukan.
Langkah paling drastik adalah mengugurkan Menteri Pertahanan, Senator David Johnston daripada senarai kabinet tersebut.
Langkah itu dilihat susulan Johnston tidak menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang menjawat jawatannya itu.
Sementara itu, bekas Menteri Imigresen, Scott Morrison dipindahkan ke Kementerian Khidmat Sosial.
Bagaimanapun Morrison yang berjaya mengurangkan ketibaan pencari suaka melalui pelaksanaan dasar yang tegas dijangka mempersoalkan tindakan pemindahan portfolio itu.
Pembantu Menteri Pendidikan, Sussan Ley pula dinaikkan menjadi menteri penuh memegang portfolio kesihatan dan sukan.
" Sussan Ley dinaik pangkat menjadi menteri kabinet iaitu jawatan Menteri Kesihatan dan Sukan. Beliau telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai pembantu Menteri Pendidikan dan berjaya menangani keadaan dalam parlimen dengan baik,” kata Abbott.
Langkah itu sekaligus menjadikan jumlah wanita dalam senarai kabinet Abbott kini meningkat kepada dua orang.
Menteri Luar, Julie Bishop sebelum ini adalah satu-satunya wanita yang menjawat jawatan menteri kabinet Australia.