Rom, Paris pilih berbasikal untuk bergerak, elak risiko jangkitan COVID-19
Astro Awani
Mei 9, 2020 05:27 MYT
Mei 9, 2020 05:27 MYT
ROM memperkenalkan laluan basikal kecemasan sejauh 150 kilometer bagi memberi peluang kepada orang ramai membuat perjalanan selamat dengan menunggang basikal dan bukannya menaiki pengangkutan awam.
Ahli Majlis Hal Ehwal Pengangkutan Rom, Pietro Calabrese menjelaskan, lorong-lorong baharu itu adalah kekal meskipun keadaan darurat akibat COVID-19 tamat kelak.
Menurutnya, selepas kerajaan Itali memutuskan pembukaan semula pelbagai kegiatan ekonomi pada 4 Mei, hanya 15 peratus pengguna pengangkutan awam yang kembali melakukan perjalanan dengan menaiki kereta api dan bas.
Jaringan pengangkutan awam di Rom buat masa ini hanya membenarkan 50 peratus daripada kapasiti penumpang asal untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai usaha mengekang penularan COVID-19.
Institut perangkaan Itali (ISTAT) menjangkakan, hanya sebilangan kecil yang akan kembali bekerja, iaitu peratusan yang jauh lebih rendah daripada bandar-bandar lain di Eropah.
Sementara itu di Perancis, penduduknya memilih untuk menunggang basikal sebagai pengangkutan alternatif bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 jika menaiki pengangkutan awam.
Ia selepas kerajaan memutuskan untuk melonggarkan perintah lockdown bermula Isnin ini.
Rata-rata penduduk memilih untuk membeli basikal terpakai pada lingkungan harga 70 hingga 250 Euro.
Menurut salah seorang pembeli, menggunakan basikal sebagai pengangkutan adalah salah satu langkah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Dia juga menjangkakan, akan lebih ramai orang membeli basikal terutamanya basikal terpakai memandangkan harganya jauh lebih murah.
"Saya percaya, ramai yang akan mengelak untuk menggunakan kereta api bawah tanah dan akan membeli basikal baharu mahupun basikal terpakai yang boleh didapati pada harga yang lebih murah," kata penduduk tempatan, Theodore Berg Boy.
Kerajaan menggalakkan penggunaan basikal sebagai salah satu cara mengelakkan diri daripada terdedah dengan orang ramai ketika menaiki bas atau kereta api.
Sebagai sokongan, kerajaan Perancis membuka lorong basikal sementara di Paris untuk melalui bandar dari utara ke selatan dan dari timur ke barat, apabila sektor perniagaan kembali beroperasi pada 11 Mei nanti.
Paris akan melarang penggunaan kereta dari Rue de Rivoli, sepanjang laluan di Muzium Louvre dan Taman Tuileries.
Sebagai tambahan, kerajaan Perancis juga akan memberi subsidi kepada penunggang basikal sehingga 50 Euro untuk kos pembaikan basikal mereka.
#basikal
#COVID-19
#darurat
#Itali
#jangkitan
#kegiatan ekonomi
#kelonggaran
#laluan basikal
#lockdown
#pandemik
#Paris
#pengangkutan awam
#penularan
#Perancis
#risiko
#Rom
#sekatan pergerakan
#subsidi
#wabak