Roket Starship milik Elon Musk meletup selepas 4 minit dilancarkan

Sinar Harian
April 21, 2023 08:45 MYT
Imej yang dirakam menunjukkan beberapa segmen daripada 33 enjin roket berkenaan tidak mencapai kadar pembakaran yang betul semasa ia berlepas dari tapak pelancaran. - AP (Gambar kecil: Elon Musk)
SOUTH PADRE ISLAND : Roket gergasi SpaceX yang sedang dalam ujian pelancaran meletup selepas beberapa minit ia dilancarkan pada Khamis.
AP melaporkan, roket berkenaan telah terhempas di Teluk Mexico.
Syarikat bilionair milik Elon Musk meletakkan sasaran untuk melancarkan roket Starship, yang sepanjang 120 meter itu, dalam satu pengembaraan mengelilingi bumi.
Ia dilancarkan dari Texas, Amerika Syarikat yang bersempadan dengan Mexico.
Roket berkenaan bagaimanapun, tidak membawa sebarang individu mahupun peralatan satelit.
Pada mulanya, video pelancaran roket berkenaan dipancarkan secara langsung SpaceX dengan iringan sorakan pegawainya.
Imej yang dirakam menunjukkan beberapa segmen daripada 33 enjin roket berkenaan tidak mencapai kadar pembakaran yang betul semasa ia berlepas dari tapak pelancaran.
Belum ada sebarang kenyataan dari pihak SpaceX berkenaan jumlah sebenar enjin yang gagal dinyalakan, atau sama ada ia telah terpadam sebelum waktunya.
Sejurus dilancarkan, roket dengan isian bahan penggalak pembakaran itu sepatutnya terpisah dari rangka utamanya, namun itu tidak berlaku. Roket berkenaan yang baru mencapai ketinggian 39 kilometer, mula terpesong arah dan meletup setelah 4 minit ia meluncur, seterusnya menjunam ke perairan Teluk Mexico.
Beberapa minggu sebelum hari pelancaran, Musk memberi kebarangkalian 50-50 tentang kejayaan pesawat berkenaan dapat sampai ke orbit.
Difahamkan, merereka bagaimanapun mengisytiharkan misi pelancaran itu sebagai ujian penerbangan yang berjaya.
Musk bercita-cita untuk membawa manusia ke planet Marikh menjelang tahun 2026 dan percaya bahawa Starship akan menjadi roket yang akan membawa mereka ke sana. - Sinar Harian
#Elon Musk #roket Starship #SpaceX #pelancaran roket
;