Roket cetakan 3D gagal diterbangkan

Astro Awani
Mac 12, 2023 09:40 MYT
Relativity Space berkata 85 peratus daripada roket itu, termasuk enjinnya, dihasilkan daripada pencetak 3D. - Foto AP
FLORIDA: Sebuah roket yang dibina hampir sepenuhnya daripada bahagian bercetak 3D gagal dalam misi penerbangan pertamanya selepas beberapa kali percubaan.
Enjin yang dinyalakan mati secara tiba-tiba menyebabkan roket Relativity Space, bernama Terran 1, kekal berada di atas padnya.
Cubaan itu dilakukan dalam masa tiga jam di stesen angkatan angkasa Cape Canaveral.
Tiada sebab diberikan untuk masalah berkenaan.
Percubaan pelancaran pertama pada Rabu telah dibatalkan pada tanda satu minit kerana keadaan injap yang tidak baik.
Namun tiada maklumat diberikan bila syarikat itu mungkin mencuba lagi.
Relativity Space berkata 85 peratus daripada roket itu, termasuk enjinnya, dihasilkan daripada pencetak 3D di ibu pejabat syarikat di Long Beach, California.
Memandangkan ini adalah penerbangan ujian, semua yang ada di atas roket adalah cetakan logam 3D pertama syarikat.
Syarikat itu menyasarkan untuk menerbangkan roket berkenaan ke dalam orbit yang rendah dan jangka pendek.
#roket #Relativity Space #Terran 1 #cetak 3D
;