Rohingya: Malaysia minta jaminan Myanmar tangani krisis pelarian

Astro Awani
Mei 21, 2015 23:26 MYT
ANIFAH: Malaysia, Indonesia, Thailand dan Myanmar perlu mencari jalan dan kata sepakat bagi menangani krisis pelarian Rohingya.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman telah meminta jaminan daripada kerajaan Myanmar untuk membantu menangani krisis kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya di samping menekankan kepentingan Myanmar untuk mengenal pasti dan menyelesaikan punca utama masalah itu.
Perkara itu dirumus dalam perbincangan dua hala antara beliau dengan rakan sejawatannya dari Myanmar U Wunna Maung Lwin di Nay Pyi Taw pada Khamis.
Kedua-dua pihak telah berbincang mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dengan segera oleh kedua-dua negara bagi menangani krisis yang melibatkan 7,000 orang pelarian dari Myanmar dan Bangladesh tersebut.
Pelarian itu kini sedang berada di perairan Teluk Bengal dan Laut Andaman.
Dalam perbincangan tersebut, Anifah telah menerangkan perkara paling mendesak yang perlu dilaksanakan pada waktu ini adalah bagi Malaysia, Indonesia, Thailand dan Myanmar mencari jalan dan kata sepakat bagi membantu golongan tersebut.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dan ASEAN dengan tema people-centred, perlu bersepakat memainkan peranan utama dalam menangani krisis ini yang telah mendapat perhatian serta liputan meluas oleh masyarakat antarabangsa,” ujar Anifah dalam pertemuan tersebut.
Malaysia telah memaklumkan kepada Myanmar mengenai hasil utama perbincangan Mesyuarat Peringkat Menteri Mengenai Pergerakan Manusia Yang Luar Biasa Di Asia Tenggara di Putrajaya pada Rabu, yang dipengerusikan Anifah dan dihadiri Menteri Luar Indonesia dan Thailand.
U Wunna Maung Lwin telah memaklumkan bahawa Kerajaan Myanmar sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan di negeri Rakhine.
“Ini termasuk lawatan oleh Naib Presiden Myanmar ke wilayah tersebut baru-baru ini, di mana Kerajaan Myanmar akan terus menghulur bantuan dan melaksanakan program pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah tersebut,” ujarnya.
Tambah Maung Lwin, Myanmar sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Malaysia dalam menyelesaikan konflik di Rakhine serta krisis kemanusiaan di Teluk Bengal dan Laut Andaman.
Sementara itu, Anifah menekankan bahawa masyarakat antarabangsa perlu turut memikul beban tanggungjawab bersama dalam isu tersebut dengan menghulur bantuan yang sewajarnya, khususnya bantuan kewangan, kepada Indonesia dan Malaysia.
#Anifah Aman #Asia Tenggara #Bangladesh #Myanmar #PBB #pelarian #Rohingya
;