Rohingya: Apabila meminta hak menjadi manusia bertukar kepada sentimen kebencian
Dr Azlinariah Abdullah
April 25, 2020 16:59 MYT
April 25, 2020 16:59 MYT
JADI, apa yang baharu tentang Rohingya? Bukan baharu lagi kalau isu tentang ini didebat seputar penindasan, mangsa keganasan atau dilabel yang hodoh-hodoh sahaja. Oh ya, baru saya teringat, sejak beberapa minggu ini, begitu rancak perbualan dan perbincangan di platform dan akaun media sosial saya tentang etnik digelar makhluk paling malang sekali di dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini.
Ini baharu : Bahawa, rancaknya mereka- lebih tepat kalau disebut netizen, mereka berkicau tentang Rohingya, mengenai asal-usul mereka, hal berkaitan sejarah dan kaitkan pula dengan faktor sebenar kedatangan mereka ke negara jiran, sehingga mendapat berjuta-juta balasan.
Ada juga, dan ini juga baharu : Status yang melewati di paparan Facebook, menuduh saya rasis, tidak patriotik, menyebelahi satu pihak dan mendakwa saya membisu sebagai pengkaji Rohingya.
Maka, tulisan ini dibawa dan saya mahukan ia berdiri dengan adil dalam maknanya, iaitu meletakkan sesuatu di tempatnya. Tempat di sini dirujuk kepada saya, warga tempatan serta sebagai pengkaji budaya dan sosiologi Rohingya dan Rohingya, etnik tertindas sebagai pemegang status pelarian.
Sambil menulis sebagai reaksi kepada pemerhatian dua tiga minggu ini, pandangan ini dihasilkan dengan penuh hati-hati, sangat tertib - bukan kicauan balas yang bergerak kerana emosi turun naik disebabkan perkembangan tertentu, tetapi digerakkan berdasarkan kepada fakta, etika dan data, medan yang barangkali tidak digunakan, atau setidak-tidaknya dilupakan oleh netizen semasa membahaskan perkara ini.
Tetapi, kicauan itu juga tidak baharu bukan? Tanya salah seorang sahabat alam maya saya, dihantar satu mesej secara peribadi. Ya, jawab saya, sebelum kemudiannya menyambung, ini, pada hemat saya, propaganda terancang menjadikan Rohingya alat menyemai kebencian atas kepentingan pihak tertentu.
Untuk tulisan ini, saya mahu mulakan dengan fakta. Ketika ketakutan akibat dan kesan COVID-19, dengan mata jadi cemas memerhatikan dompet dan poket makin menipis, angka-angka momok pula meningkat catat pesakit positif dijangkiti, gelisah dihimpit kematian makin menjadi-jadi, berlegar-legar di media sosial mendakwa mereka penyebar virus halimunan ini. Maka ekonomi perut, lekas memberi reaksi.
Dalam kita hampir sahaja menyerah dan meniti hari melelahkan, cukup mudah untuk mencari sesiapa sahaja boleh dijadikan bahan. Nah, di sini, kita seolah-olah terlupa siapa dan bagaimana. Contohnya, kita pernah "mengiyakan" Rohingya ialah pelarian, kita bantu mereka atas dasar kemanusiaan. Ketika itu, kempen menyantuni mereka cukup semarak. Kalau kita belum lupa, pemimpin negara juga pernah hadir dalam satu rapat umum untuk solidariti kepada etnik ini. Tetapi apa sudah jadi sekarang? Sejarah mereka (yang belum tentu ada benarnya) digali semula, mencurah-curah mendakwa mereka bangsa yang zalim, maka jangan kita terima mereka, sudah diberi betis mahu peha, ini sikap tidak tahu diuntung.
Begini. Saya faham dan difahamkan, kemarahan dan kebencian ini bertitik-tolak kepada insiden di mana mereka ditahan di perairan masuk ke Malaysia dan dikhuatiri membawa jangkitan. Kemudian rasa tidak puas hati ini bertukar marah pula apabila mereka dikatakan enggan disaring, langgar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Ia kemudian dibawa ke medan media sosial. Dapat difahami, daripada tidak puas hati bertukar marah dan menjadi benci pula kalau perbincangan beralih arah. Diburukkan dengan satu tuntutan"tidak berterima kasih sifatnya" oleh individu dikatakan pemimpin persatuan Rohingya, media makin rancak membincangkan isu ini. Semua elemen, tidak puas hati ada, marah dan benci sahaja - "notoRohingya" menyusuli perbincangan yang tersedia.
Kepada dakwaan-dakwaan ini, saya mahu katakan begini. Mereka ini Rohingya, bukan Muslim Myanmar atau Bangladesh. Mereka ini tiada pasport atau dokumen, hanya ada kad UNHCR. Mereka ini pelarian, mudah dimanipulasi, tidak mendominasi perniagaan tempatan. Mereka menunggu untuk dibantu, makan minum dan menyara keluarga. Kalau ada yang mendakwa "mereka semua" kini sudah begitu melampau, mungkin ia didorong membuat kenyataan secara "pukul rata" menyamakan Rohingya dan Muslim Myanmar dan juga Bengali dari Bangladesh.
Apa yang saya belajar dan kaji, juga hasil pembacaan ratusan buah buku, tiga kelompok ini adalah etnik yang berasingan, lalu menerima nasib berbeza walaupun menumpang di tanah yang sama. Ambil contoh di Pasar Borong Selayang, berdasarkan kajian untuk tesis Ph.D saya, "The Myanmar Rohingyas, Challenges Faced by "refugee" Community in Malaysia", kebanyakan peniaga adalah Muslim Myanmar, dan bukan Rohingya.
Semua pemilik perniagaan asing adalah milik Muslim Myanmar (ada juga bukan Muslim) dan mereka bukan pelarian, memiliki pasport, justeru senang bawa masuk barang dari Myanmar dan kemudiannya berjual beli di negara ini.
Kebanyakan yang bekerja dengan mereka ini adalah dari Bangladesh dan Rohingya sekadar pekerja bawahan bergaji cukup makan. Namun, barangkali kerana rasa tidak puas hati, kita jadi tersalah marah dan mungkin juga buruk sangka.
Di Indonesia bezanya, hampir tiada lagi pelarian Rohingya disebabkan mereka semua sudah ditempatkan ke negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Sweden. Kalaupun ada, mereka di tempatkan di pusat penempatan, tidak berselerak seperti di Malaysia. Di Malaysia, data menunjukkan, sudah beberapa ribu pelarian juga ditempatkan di negara ketiga tetapi prosesnya amat perlahan.
Pelarian Rohingya berhak dapat perlindungan di Malaysia kerana mereka lari dari penghapusan etnik oleh tentera Myanmar.
Sebab itu, atas patuh kepada undang-undang antarabangsa, Malaysia benarkan mereka tinggal di Malaysia sehingga keadaan selamat untuk mereka pulang ke negara asal. Jadi, apa isunya? Kalau itu faktanya, mereka yang marah-marah sehingga ada petisyen "katakan tidak kepada Rohingya", sudah kenapa?
Dalam hal ini, saya juga mahu senada dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengakui cara tangani isu etnik tertindas ini perlu bijak selain beliau melihatnya lebih kepada situasi yang berlaku di Malaysia kerana ketika ini seluruh dunia menghadapi kesukaran untuk berada dalam keadaan stabil ketika berhadapan dengan COVID-19.
Kemudian saya mahu menyentuh mengenai etika dan manusiawi. Begini : Kalau Rohingya beragama Buddha, maka tiada sebab mereka perlu dihapuskan atas hujah tidak memberontak di negara sendiri, Myanmar.
Maka Malaysia menjadi destinasi mereka sebab negara kita adalah negara Islam. Ini adalah pendirian Malaysia dan juga pendirian Pertubuhan Negara Islam (OIC), malah, menjadi asas pembelaan terhadap mereka.
Mereka lari dan menjadi pelarian untuk selamatkan nyawa dan aqidah. Mereka, dalam bahasa Arab, adalah kaum Muhajirin dan kita adalah kumpulan Ansor. Di peringkat ini, kita sebagai Ansor wajar menyantuni mereka sebagai kaum Muhajirin."Inilah sirah paling utama Rasulallah dalam membentuk negara Islam Madinah, sewaktu peristiwa Hijrah.
Kalau itu belum cukup, saya sentuh sedikit mengenai manusiawi. Rakan saya, Aslan ada menulis mengenai sentimen anti-Rohingya ini di FB beliau. Saya petik beliau berkata, "Amat ironi sekali, apabila Aylan Kurdi, anak Syria, mati terdampar di pantai, kita menangis melolong; tapi kita menolak ratusan pelarian yang kelaparan tiba dengan bot." Katanya lagi, alangkah tidak manusiawi apabila kita semua seolah-olah bersetuju bahawa permintaan mereka untuk mendapat hak menjadi manusia dikatakan aneh, seolah-olah ketamadunan hilang tamadunnya. Mereka minta diberi kerja, peluang pendidikan dan diterima sebagai manusia - hak untuk semua manusia di dunia ini, tanpa terkecuali pelarian tiada negara seperti Rohingya.
Saya kaitkan apa yang ditulis Aslan itu dengan kenyataan ini. Ketika mana perang terdapat wabak COVID-19 masih belum tentu bila akan berakhir, ada sedikit perkaitan bagaimana wabak ini secara tidak langsung mengangkat semula kepentingan ilmu kemanusian dan sains sosial kepada kemanusian. Perbahasan bukan berlegar tentang sifat ketulenan sains itu, tetapi lebih kepada tentang sikap, perangai, norma, nilai dan budaya sesebuah masyarakat dan ketamadunan.
COVID-19 ini sebenarnya menonjolkan persoalan tentang kepimpinan, struktur dan sistem kerajaan, proses pembuatan dasar dan cabaran penyampaian perkhidmatan. Komunikasi menjadi kunci ketika mana manusia berada dalam kebingungan mencari hala tuju berdepan dengan apa yang mereka tidak pernah alami sebelum ini. Dalam situasi ini, sejarah tetap menjadi pedoman dalam mencari model merencana tindakan. COVID-19 mengajar kita bukan sahaja tentang virus dan perubatan tetapi mengangkat kepentingan pemahaman kita tentang manusia dan kemanusiaan.
Sebagai pengkaji, saya kira tiada yang baharu tentang sentimen anti-Rohingya ini. Ia akan tenggelam, bermusim, sama juga seperti bantuan-bantuan kita berikan kepada pelarian lain, iaitu berebut-rebut beri ketika ramai memberi. Kawalan perasaan bercampur emosi ini juga tidak akan pernah berubah, - ada simpati dan benci - kerana darjah kefahaman kemanusiaan kita turun naik selari dengan perkembangan semasa.
Sebagai manusia, saya beranggapan, apa yang "baru" menimpa Rohingya ini, tidak selari dengan ajaran dan sirah Rasullah, apa lagi ketika umat Islam baru sahaja dalam minggu pertama menyambut Ramadan di mana umat Islam disaran menjadikan bulan penuh berkat ini sebagai madrasah untuk melonjakkan ketaqwaan dan ibadat kepada Allah.
Saya mahu menamatkan tulisan ini dengan memetik kenyatan bahawa, selepas sesuatu kejadian besar, pasti ada perubahan besar. Contohnya, selepas Perang Dunia Pertama, British perlukan lebih banyak pendapatan disebabkan menanggung kerugian yang banyak dalam perang. Apabila peristiwa 13 Mei berlaku, ia menumbangkan pemerintahan Tunku Abdul Rahman dan aspirasi beliau terhadap Malaysia. Tanpa kuasanya, Malaysia jadi berbeza apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan.
Wabak COVID-19 tentunya ada impak yang akan mengubah negara, yang dinantikan kita semua. Kalau perubahan itu dari sudut sosial dan perhubungan sesama, nampaknya, perubahan adalah berbentuk kepayahan dan kesusahan untuk memecahkan mentaliti penjarakkan sosial dan skeptikal sesama kita. Dan, belum tahu bila akan berakhir sekali pun, isu Rohingya, manusia dan manusiawi, adalah salah satu daripadanya. Ini kerana, ada pihak menjadikannya isu perkauman dan keagamaan walaupun pandemik ini barangkali seputar isu kesihatan global, ilmu sains sosial dan kemanusiaan serta geografi.
*Dr Azlinariah Abdullah juga merupakan penulis buku "Air Mata Kesengsaraan Rohingya : Identiti, Pelarian dan Penindasan".
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.