Rogol murid hingga usus beralih, guru dijatuhi hukuman gantung sampai mati
Astro Awani
Februari 7, 2019 18:50 MYT
Februari 7, 2019 18:50 MYT
India bakal menjatuhkan hukuman mati buat pertama kali bagi pesalah rogol kanak-kanak di negara itu pada Mac ini.
Pelaksanaan di bawah undang-undang baharu itu ditetapkan mahkamah di daerah Madhya Pradesh ke atas seorang guru sekolah yang disabit merogol seorang kanak-kanak berusia empat tahun.
Pesalah, Mahendra Singh Gond akan menjalani hukuman gantung sampai mati di penjara Jabalpur pada 2 Mac ini.
Pada 30 Jun 2018, Mahendra melakukan kesalahan menculik dan merogol kanak-kanak berkenaan dan kemudian meninggalkannya di dalam hutan setelah menyangka kanak-kanak itu telah mati.
Mahendra ditahan beberapa jam selepas itu apabila keluarga kanak-kanak terbabit menjumpai anak mereka.
Kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan cedera parah sehingga terpaksa menjalani pembedahan usus dan organ dalaman yang beralih akibat perbuatan kejam Mahendra.
Kenyataan kanak-kanak terbabit dirakam dan ditayangkan melalui melalui persidangan video jelas membuktikan Mahendra bersalah.
Mahkamah Sesyen di Nagod menjatuhkan hukuman mati ke atas Mahendra pada 19 September tahun lepas.