Roger, si kanggaru berbadan sado mati pada usia 12 tahun

Afiq Ariffin
Disember 10, 2018 21:01 MYT
Berita kematian Roger menerima pelbagai reaksi peminatnya di media sosial. -foto Facebook / @thekangaroosanctuary
SEEKOR kanggaru yang satu ketika dahulu tular di media sosial kerana 'berbadan sasa' mati pada usia 12 tahun.
Kanggaru merah yang diberi nama Roger itu menjadi bualan pengguna laman sosial tiga tahun lalu apabila gambar yang memaparkan otot bisepnya yang besar dan berurat tersebar.
Roger tinggal di Pusat Pemeliharaan Kanggaru di Alice Springs dekat Utara Australia dan kematiannya diumumkan oleh pemilik pusat pemeliharaan berkenaan, Chris 'Brolga' Barnes melalui perkongsian video di Facebook.
“Hari ini merupakan hari yang amat sedih, kami telah kehilangan ‘anak kesayangan’, Roger.
“Sepuluh tahun lalu, saya membina pusat pemeliharaan ini untuk memberikan Roger dan kanggaru lain tempat tinggal. Kami betul-betul sayang padanya,” kata Barnes di dalam video tersebut.
Sejak gambarnya tular, Barnes sering berkongsi gambar Roger dengan badan sasanya di laman sosial dan pada tahun 2016 beliau memaklumkan bahawa Roger semakin tua dan menderita Arthritis.
Berita kematian Roger menerima pelbagai reaksi dengan rata-rata peminat memberikan penghormatan terakhir kepada haiwan itu di media sosial.
#Australia #Facebook #kangaroo #laman sosial #mati #media sosial #meninggal dunia #roger #sasa #Tular
;