Rodrigo Duterte diramal menang besar pemilihan presiden Filipina
Agensi
Mei 10, 2016 10:19 MYT
Mei 10, 2016 10:19 MYT
Calon kontroversi Rodrigo Duterte diramal meraih kemenangan besar dalam pilihan raya presiden, mengikut data beberapa badan pemantau negara itu pada Selasa.
Datuk Bandar Davao itu berjaya melebarkan pengaruh berikutan kempen politiknya terus melaungkan ikrar mahu membanteras jenayah dan kemiskinan secara besar-besaran - dua faktor yang dipercayai membawa kemunduran ekonomi Filipina.
Peratus pembuangan undi yang besar pada Isnin menyaksikan Duterte, 71, bakal memperoleh kemenangan, mengikut data daripada PPCRV iaitu pemantau dari gereja Katolik yang diakreditasi oleh pemerintah untuk mengira undi.
Dengan 89 peratus undi dikira pada pagi Selasa, Duterte mendahului dengan kelebihan 5.92 juta undi iaitu jauh meninggalkan calon Mar Roxas.
“Dengan rasa rendah diri, saya menerima mandat rakyat ini. Apa yang boleh saya janji kepada anda adalah saya akan lakukan yang terbaik ketika berjaga mahupun lena,” kata Duterte.
Menurut PPCRV, Duterte secara keseluruhan kini memperoleh 38.65 peratus undian, sementara Roxas pada 23.16 peratus dan Senator Grace Poe di tempat ketiga dengan 21.71 peratus.
Di Filipina, pemenang diisytihar berdasarkan calon yang memperoleh undi terbanyak.
Poe menjelang tengah malam semalam membuat pengumuman menerima kekalahannya dan menghormati sentimen rakyat serta keputusan pilihan raya itu.
Duterte meraih populariti kerana ikrarnya yang berapi-api untuk membunuh ribuan penjenayah selain mengancam untuk memusatkan kuasa jika ahli politik tidak patuh kepadanya.
Beliau sering mencetus kontroversi apabila bangga mendedahkan tentang hubungannya dengan wanita, berjenaka tanpa simpati tentang seorang wanita Australia yang terbunuh dalam rusuhan penjara pada 1989, malah pernah melabelkan pope dengan gelaran yang menghina.
Oleh kerana pembawaan gaya dan keceluparannya itu, Duterte mendapat gelaran 'Trump Dari Timur', sebagai perbandingan kepada personaliti calon presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang sering mengeluarkan pandangan melampau.
Pemilihan presiden itu bagi menggantikan Benigno Aquino, yang sering mengingatkan rakyat negara itu agar berwaspada dengan risiko diperintah di bawah kuasa diktator.
Aquino dilihat sedaya upaya memberi sokongan kepada Roxas yang dilihat sebagai calon yang layak untuk memimpin masa depan negara tersebut.
#Benigno Aquino
#calon presiden
#pilihan raya presiden
#Poe
#presiden filipina
#Rodrigo Duterte
#Roxas