Rod Stewart, anak lelaki mengaku bersalah tumbuk pengawal keselamatan
Agensi
Disember 18, 2021 11:38 MYT
Disember 18, 2021 11:38 MYT
LONDON: Penyanyi legenda Britain, Sir Rod Stewart dan anak lelakinya mengaku bersalah atas pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan sebuah hotel di Florida, dua tahun lalu.
Memetik laporan BBC, kejadian itu berlaku di luar sebuah parti persendirian di Hotel Breakers, Palm Beach pada malam sambutan Tahun Baharu apabila dua beranak itu tidak dibenarkan memasuki premis itu.
Mengikut pertuduhan, anak lelaki penyanyi itu Sean, 41, didakwa menolak mangsa sementara Stewart menumbuknya di dada.
Peguam yang mewakili dua beranak itu, Guy Fronstin memberitahu, dengan pengakuan bersalah itu, Stewart dan Sean tidak perlu lagi naik turun mahkamah atau dimasukkan ke penjara.
Sebaliknya, kata Fronstin, mereka hanya perlu membayar denda atau menjalani tempoh percubaan.
"Setakat ini hakim masih belum mengeluarkan keputusan kepada pengakuan mereka, ini bermakna secara rasmi mereka belum disabitkan dengan kesalahan," katanya di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fronstin menjelaskan, tiada individu yang cedera dalam insiden itu malah, prosiding mahkamah sendiri masih belum mengaitkan penyanyi lagu Have I Told You Lately itu bersalah.
"Sir Rod (Stewart) memutuskan untuk membuat pengakuan bagi mengelakkan sebarang kesulitan sehingga membebankan institusi kehakiman dan orang ramai," ujar peguam berkenaan.