RM60 juta dijumpai di kedai cetak

Astro Awani
Oktober 22, 2018 07:09 MYT
Pasukan khas melakukan beberapa serbuan dan menemui wang palsu Euro berjumlah lebih 11 juta (kira-kira RM52 juta) dan wang palsu dolar bernilai lebih AS$1.7 juta (RM7.07 juta). - Gambar hiasan
Pihak berkuasa Bulgaria merampas AS$14.3 juta atau RM60 juta wang palsu di sebuah kedai percetakan, dipercayai untuk diedar sekitar negara Eropah.
Hasil serbuan juga mendapati sindiket terbabit memiliki mesin pencetak berkualiti tinggi.
Sebelum serbuan dilakukan, Kementerian Dalam Negeri yang menubuhkan pasukan khas, menyerbu satu kawasan peranginan di Sunny Beach, Laut Hitam, dan merampas kepingan wang kertas 100 euro, 500 euro dan 50 dolar.
Berikutan penemuan itu, pasukan khas melakukan beberapa serbuan dan menemui wang palsu Euro berjumlah lebih 11 juta (kira-kira RM52 juta) dan wang palsu dolar bernilai lebih AS$1.7 juta (RM7.07 juta).
Serbuan terbesar dalam tempoh 11 tahun itu membabitkan lebih 30 lokasi di negara Balkan tersebut.
Ini adalah hasil siasatan selama 10 bulan dan mendapat sokongan Europol dan perisik Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa turut menahan empat suspek. - Agensi
#bulgaria #Euro #Europol #kedai percetakan #negara Balkan #pasukan khas #serbuan #sindiket #Sunny Beach #wang palsu
;