RM13 juta untuk makan tengah hari?

Sinar Harian
Jun 3, 2018 12:10 MYT
Seorang pembida rahsia sanggup membayar AS$3.3 juta (RM13.13 juta) dalam satu lelongan untuk sesi makan tengah hari tertutup bersama Warren Buffet (foto). -Reuters
Seorang pembida rahsia sanggup membayar AS$3.3 juta (RM13.13 juta) dalam satu lelongan untuk sesi makan tengah hari tertutup bersama hartawan pelaburan, Warren Buffet yang juga Pengerusi syarikat Berkshire Hathaway Inc.
Dana yang diperolehi menerusi lelongan dalam talian selama lima hari di eBay akan diberikan kepada badan kebajikan Glide Foundation di San Francisco yang membantu golongan miskin, gelandangan atau ketagihan dadah.
Bajet tahunan Glide digunakan untuk menyediakan 750,000 makanan percuma, tempat perlindungan, ujian HIV dan Hepatitis, latihan pekerjaan, khidmat penjagaan kanak-kanak serta program selepas sekolah.
Ia adalah harga sesi makan tengah hari ketiga paling mahal, sejak Buffet mula menawarkan sesi itu 19 tahun lalu.

Rekod tertinggi dicapai pada 2012 dan 2016 dengan harga AS$3.45 juta (RM13.72 juta).

Lelongan tahun ini menyaksikan 136 bidaan daripada enam pembida, sehingga ia ditutup, malam semalam.

Buffet, 87, berjaya meraih AS$29.6 juta (RM117.75 juta) untuk Glide menerusi 19 lelongan. - Reuters

#Berkshire Hathaway #Glide Foundation #lelongan dalam talian #pembida rahsia #Warren Buffet
;