Ritual tahunan 'kelumpuhan' Pulau Bali
Ain Najhan
Mac 7, 2019 12:32 MYT
Mac 7, 2019 12:32 MYT
SEIRING dengan pengertiannya membawa maksud sepi, maka segala aktiviti dan rutin seharian masyarakat di pulau dewata, Bali, Indonesia terhenti.
Bertepatan dengan tuntutan tradisi, sambutan Hari Raya Nyepi kesemua penganut agama Hindu di Bali akan menghormati perayaan itu dengan duduk di rumah di dalam kegelapan dan menutup pintu dan tingkap sebagai memelihara kesucian.
Demikian ritual tahunan masyarakat berkenaan di Bali. Bukan hanya, masyarakat tempatan, sebaliknya, pelancong asing juga tidak ketinggalan harus melalui amalan yang sama.
Perayaan Nyepi sentiasa mendapat perhatian dan liputan media antarabangsa kerana itulah satu-satunya hari daripada 365 hari apabila segala aktviti kemanusiaan terhenti.
Bali yang terkenal sebagai destinasi percutian masyarakat dari seluruh dunia akan sunyi sepi, tiada lagi keriuhan pelancong asing di pulau peranginan itu. Aktiviti urus niaga 'lumpuh' seketika.
Semuanya kerana menghormati perayaan Tahun Baharu Hindu yang berpandukan kalendar yang dinamakan sebagai Takwim Saka bagi rakyat Indonesia.
Sudah ratusan tahun Hari Raya Nyepi disambut dan amalannya masih tidak berubah.
Ritual dalam perayaan itu disifatkan sebagai usaha menyucikan Buwana Alit (alam manusia) dan Buwana Agung (alam semesta).
Sambutan tahun baru mengikut kalendar Saka disambut selama enam hari manakala kemuncak bagi perayaan itu adalah Hari Raya Nyepi yang berlaku pada hari ketiga dalam tahun baharu.
Sebelum Bali menyepi, penduduk di pulau peranginan riuh rendah dengan upacara ‘ngrupuk’ dengan mengarakkan patung ‘ogoh-ogoh’ di kawasan sekitar.
Kami senaraikan lima elemen Hari Raya Nyepi yang berlangsung pada Khamis.
1) Hari untuk berdiam diri
Hari Raya Nyepi mengambil nama dari perkataan 'sepi'. Maka seluruh Bali akan senyap sepanjang perayaan ini berlangsung. Hari Raya Nyepi bermula dari 6.00 pagi dan berterusan selama 24 jam.
Hari Nyepi bermula sejak 6 pagi Khamis dan akan berakhir 6 pagi Jumaat.
2) Semua perkhidmatan awam ditutup.
Semua perkhidmatan awam ditutup antaranya perkhidmatan internet, radio, televisyen dan sehinggalah penerbangan.
Bagaimanapun, hanya sektor perubatan, keselamatan dan kecemasan sahaja yang dikecualikan daripada ditutup. Sementara segala bentuk kegiatan seharian dilarang sama sekali.
3) Tidak dibenarkan bersiar-siar.
Pada perayaan ini, tiada sesiapapun dibenarkan berlegar-legar di luar kawasan kediaman termasuklah pelancong asing. Penduduk di Bali hanya dibenarkan duduk di dalam rumah, menutup tingkap dan lampu demi memelihara kesucian perayaan itu.
Pemantau akan ditugaskan untuk memastikan tiada yang berkeliaran dan sekiranya sesiapa dijumpai di luar kediaman, mereka akan ditangkap.
4) Tiada sebarang cahaya dibenarkan.
Untuk perayaan ini, mereka yang berada di Bali dilarang sama sekali menyalakan sebarang cahaya termasuklah api.
Menyalakan api di dapur gas turut dilarang maka mereka tidak dibenarkan memasak semasa perayaan itu.
5) Tanda menyucikan diri
Sempena tahun baharu bagi penganut Hindu, mereka digalakkan untuk memulakan lembaran baru dengan perkara yang baik dan suci.
Sebagai tanda menyucikan diri, penganut Hindu lazimnya meraikan tahun baharu mereka dengan berpuasa, meditasi dan yoga.
Penganut Hindu meraikan tahun baru takwim Saka selama enam hari dan kemuncaknya adalah Hari Nyepi.
#agoh-agoh
#Bali
#Buwana Agung
#Buwana Alit
#Hari Raya Nyepi
#Hindu
#Indonesia
#ngrupuk
#Ritual tahunan 'kelumpuhan' Pulau Bali
#Saka