Risiko kesihatan apabila cangkung dengan seluar jean sendat

Agensi
Jun 25, 2015 08:00 MYT
Para doktor di Australia memberikan amaran tersebut setelah satu kes seorang wanita hilang deria rasa di kakinya selepas beberapa jam memakai seluar jean yang sangat ketat. - Gambar hiasan
Mencangkung dalam masa yang lama dengan seluar jean sendat dan ketat boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan.
Para doktor di Australia memberikan amaran tersebut setelah satu kes seorang wanita hilang deria rasa di kakinya selepas beberapa jam memakai seluar jean yang sangat ketat.
Wanita berusia 35 tahun itu jatuh pengsan dan perlu diberi rawatan selepas seharian membantu saudaranya berpindah rumah dan menghabiskan masa berjam-jam bertinggung untuk mengemas pakaian.
Kes luar biasa ini telah dilaporkan oleh sebuah akhbar pakar kesihatan British, Journal of Neurology Neurosurgery & Psychiatry.
"Dia telah memakai jean sendat dan berasa tidak selesa keesokan harinya. Kemudian petang itu, dia mengalami rasa kebas di kaki dan mula sukar untuk berjalan yang menyebabkan dia tersadung dan jatuh.
"Kerana tidak dapat bangun, wanita itu menghabiskan beberapa jam berbaring di atas tanah sebelum ditemui," lapor akhbar tersebut.
Kaki wanita itu didapati begitu bengkak dan seluarnya hanya boleh ditanggalkan dengan memotongnya.
Dia tidak boleh menggerakkan pergelangan kaki atau jari kaki dia dengan baik dan telah kehilangan rasa di kaki.
Selepas dimasukkan air, wanita berkenaan dapat berjalan seperti biasa semula empat hari kemudian.
Doktor di Hospital Royal Adelaide, Australia Selatan berkata seluar jean sendat yang digabungkan dengan aktiviti mencangkung akan mengurangkan bekalan darah ke otot kaki.
Pada masa yang sama, gentian saraf yang menghubungkan bahagian bawah kaki boleh rosak akibat mampatan berpanjangan yang menyebabkan kebas dan kehilangan kawalan.
"Kes ini merupakan komplikasi neurologi baru bagi pemakaian seluar jeans ketat," mereka menulis.
#kebas #kesihatan #skinny jeans
;