Risau siling runtuh, pekerja hadir ke pejabat pakai topi keledar
Sinar Harian
November 8, 2019 08:08 MYT
November 8, 2019 08:08 MYT
Gambar sekumpulan pekerja terpaksa memakai topi keledar dalam sebuah pejabat kerajaan di Uttar Pradesh di India menjadi tular di media sosial.
Kesemuanya merupakan kakitangan jabatan elektrik di daerah Banda bertindak sedemikian sebagai langkah keselamatan berikutan pejabat mereka terletak dalam sebuah bangunan usang dengan bumbung premis itu dilaporkan berlubang.
Selain itu, turut terdapat tiang di tengah bilik terbabit yang berfungsi sebagai 'pemegang' siling untuk mengelakkan ia runtuh.
"Kami perlu pakai helmet untuk melindungi diri masing-masing jika berlaku kejadian tidak diingini secara tiba-tiba.
"Kami ada maklumkan kepada pegawai atasan tentang keadaan bangunan itu, namun tiada sebarang tindakan diambil.
"Mungkin mereka mahu tunggu salah seorang daripada kami terbunuh baru usaha membaik pulih dimulakan," kata salah seorang pekerja.
Menurutnya, kesemua pekerja terbabit juga perlu membawa payung jika musim hujan berikutan bumbung bocor.
Bukan hanya keadaan pejabat itu yang usang, perabot yang disediakan juga sangat daif berikutan tiada laci atau almari disediakan untuk menyimpan dokumen atau fail, malah kesemua dokumen itu hanya ditempatkan di dalam kotak kadbod.