Ringkasan fakta: Siapa Donald Trump?

Astro Awani
November 6, 2024 06:10 MYT
Perjalanan politik Donald Trump penuh warna-warni dan pada 20 Januari 2025, beliau akan kembali semula ke White House. - Gambar Reuters
CALON Republikan, Donald Trump memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 dengan menerima lebih daripada 270 undi electoral college, menewaskan pesaingnya, Kamala Harris.
Trump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada Januari 2025 dan akan berkhidmat selama empat tahun dalam penggal keduanya.
Beliau mengejutkan dunia apabila pertama kali memenangi jawatan Presiden pada 2016
Ramai yang tidak mengambil serius hasrat Trump untuk menjadi Presiden ketika itu
Tetapi beliau kemudiannya mengalahkan calon Demokrat Hillary Clinton, bekas Setiausaha Negara AS yang juga isteri bekas Presiden Bill Clinton.
Perubahan besar di White House
Mengetatkan imigresen adalah janji kempennya yang penting. Trump bertindak tegas terhadap syarat perjalanan dari beberapa negara majoriti Islam dan mengukuhkan sebahagian daripada sempadan selatan.
Beliau menjadikan mahkamah tertinggi di AS lebih konservatif, menarik AS daripada perjanjian iklim Paris dan memulakan perang perdagangan dengan China
Trump Presiden yang tidak konvensional, kontroversial
Sebahagian daripada kempennya kepada pengundi, Trump tidak bercakap atau bertindak seperti ahli politik lain.
Dan memenangi White House kali pertama tidak mengubahnya - beliau memuat naik ciapan hampir setiap jam.
Bulan-bulan terakhir Trump memegang jawatan Presiden AS dicemari dengan kisah pandemik COVID-19.
Pengkritiknya menyalahkan Trump kerana membuatkan orang ramai berpecah belah tentang pengunaan pelitup muka, sekatan pergerakan dan vaksin.
Kalah pada 2020, Trump enggan terima hakikat
Penggal pertamanya dalam jawatan berakhir dengan kepahitan apabila beliau membuat dakwaan tidak berasas - kalah dalam pilihan raya secara tidak adil.
Penyokongnya menyerbu Capitol AS selepas beliau memberi ucapan di Washington.
Rusuhan itu meletakkan ramai penggubal undang-undang dan naib presidennya sendiri dalam bahaya.
Asal-usul keluarga Trump dari Jerman, Scotland
Anak keempat daripada lima beranak, Trump dilahirkan di Queens, New York, pada tahun 1946 kepada ibu berbangsa Scotland, Mary Anne MacLeod dan Fred Trump, anak kepada pendatang Jerman.
Bapanya merupakan hartawan hartanah di New York dan menjadi inspirasi buatnya menyertai perniagaan keluarga
Tiga perkahwinan dan lima orang anak
Trump mempunyai tiga anak - Donald Jr, Ivanka dan Eric - dengan isteri pertamanya Ivana.
Menerusi perkahwinan keduanya dengan pelakon, Marla Maples, mereka dikurniakan anak perempuan, Tiffany.
Trump berkahwin dengan isteri sekarang, model Slovenia, Melania Knauss pada 2005.
Pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun, Barron.
The Apprentice menjadikan Trump bintang TV realiti
Trump pernah membuat beberapa penampilan cameo dalam The Fresh Prince of Bel Air dan Home Alone 2.
Bagaimanapun, The Apprentice, yang dihoskannya dari 2004 hingga 2015, menjadikan Donald Trump sebagai nama terkenal.
Diheret dalam empat siasatan jenayah
Dalam perbicaraan di New York, Trump disabitkan bersalah kerana memalsukan rekod perniagaan dalam kes mengenai pembayaran diam-diam untuk menutup mulut seorang bintang lucah sebelum pilihan raya 2016.
Tiga lagi perbicaraan jenayah - termasuk dua untuk dakwaan percubaannya untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020 - telah ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya ini.
Terselamat daripada dua cubaan bunuh
Seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arahnya di Pennsylvania pada Julai lalu, dengan salah satu peluru mencederakan telinga kanannya. Seorang penonton maut.
Satu lagi percubaan dua bulan kemudian telah digagalkan oleh ejen Perkhidmatan Rahsia di padang golf di Florida.
Dua kempen terbesar - mengekang masalah imigran, meningkatkan ekonomi
Trump akan mula melaksanakan agenda dasarnya apabila beliau kembali ke White House pada tahun baharu 2025.
Semasa berkempen, beliau berjanji akan membawa keamanan di sempadan selatan dan menggubal undang-undang pengusiran besar-besaran pendatang tanpa izin terbesar dalam sejarah AS.
Trump turut memaklumkan, mahu memperkenalkan cukai ke atas barangan import, dipanggil tarif, untuk membantu firma AS berkembang tetapi penganalisis memberi amaran bahawa ia boleh meningkatkan harga.
#Donald Trump #pilihan raya #Amerika Syarikat #presiden
;