Rindu pada skrin besar tapi masih bimbang pada COVID-19? Ini cara di Thailand!

Agensi
Julai 3, 2020 17:35 MYT
Panggung wayang pandu masuk di ruang terbuka adalah trend yang kini disukai warga Bangkok. - Reuters
Rindu pada skrin besar tapi masih bimbang pada koronavirus?
Peminat filem di Thailand pada Khamis mula berpusu-pusu untuk mendapatkan tempat di tapak tayangan wayang pandu masuk, yang turut menawarkan sistem pendingin untuk membantu menambah keselesaan penonton yang duduk di dadalm ruang kenderaan masing-masing pada malam yang hangat.
Kira-kira 80 buah kereta memenuhi sebuah kawasan letak kenderaan terbuka di Bangkok, sempena sesi tayangan filem animasi Trolls World Tour.
Reuters melaporkan, inisiatif itu adalah sebahagian daripada tawaran istimewa empat hari kepada peminat filem yang mahu mengelakkan daripada berada di ruang panggung tertutup.
Untuk mengatasi masalah suhu tropika yang panas, pihak penganjur telah mencipta jaringan paip plastik di tapak letak kereta itu. Ia disambungkan pula dengan saluran boleh lentur yang meniupkan angin sejuk ke dalam kereta menerusi ruang kecil di bukaan tingkap kenderaan.
Di ibu kota Thailand itu, suhu pada waktu malam mencatatkan bacaan 28 darjah Celsius dengan kelembapan 78 peratus.
"Saya datang dengan ibu. Saya mahu dia merasai pengalaman tayangan filem terbuka pandu masuk seperti ini.
"Kami tertanya-tanya bagaimana penganjur hendak mengatasi masalah cuaca yang hangat dan lembap, memandangkan kami tidak boleh membiarkan enjin kereta hidup,” ujar seorang pengunjung, Sasanan Thanasankulang.
Thailand telah muncul sebagai salah sebuah negara Asia yang mencatatkan rekod baik pengawalan penularan COVID-19, dengan tidak merekodkan sebarang jangkitan tempatan selama 38 hari.
Jumlah kematian pula hanya 58 kes dalam kalangan 3,179 kes positif yang dikenal pasti.
Setakat ini, sudah banyak larangan pergerakan dan operasi yang sudah ditarik semula demi menggerakkan ekonomi, termasuk yang terbaru, membenarkan bar, karaoke dan pusat urutan kembali membuka pintu.
Walaupun panggung wayang di Thailand sudah sebulan dibuka dengan jumlah tempat duduk terhad dan kerja membasmi kuman dijalankan, seorang pengunjung, Apitchaya Doungsuwan berkata dia lebih yakin untuk berada dalam kenderaannya sendiri.
Pelanggan sepertinya sanggup membayar harga 1,200 Baht (RM165) yang dikenakan untuk setiap kenderaan, selain diberikan jagung bemban dan minuman ringan.
"Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu, kerana masih khuatir dengan COVID-19. Pengalaman malam ini sangat bagus. Kami pasti akan kembali,” ujarnya.
#Bangkok #kereta #pandu masuk #panggung wayang #tempat parkir #Wayang pandu masuk #wayang terbuka
;