Richard Huckle berpeluang bebas selepas 23 tahun, netizen tuntut hukuman setimpal
Nizam Bakeri
Jun 7, 2016 11:35 MYT
Jun 7, 2016 11:35 MYT
SELEPAS mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan penderaan seksual ke atas kanak-kanak di Malaysia, pedofil Britain Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Ramai yang lega dengan keputusan mahkamah London itu, namun netizen rata-rata masih menganggap hukuman tersebut tidak setimpal.
Huckle yang setakat ini sudahpun menjalani hukuman penjara selama 488 hari, mempunyai peluang untuk membuat rayuan di hadapan lembaga parol selepas 23 tahun dipenjarakan.
Hal ini menyebabkan ramai yang mempersoalkan tempoh hukuman tersebut yang disifatkan tidak munasabah berbanding kekejaman Huckle yang bukan sahaja merogol kanak-kanak, bahkan menyebar lebih 1,000 foto perbuatan tersebut atas talian, lapor Agensi.
Ada juga netizen yang mencadangkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol bahkan hukuman mati ke atas Richard.
Hukuman tersebut dianggap setimpal dan mampu menghalangnya kembali ke sisi masyarakat untuk selama-lamanya.
Hakim Peter Rook menjatuhkan 22 hukuman penjara seumur hidup ke atas Richard yang bakal dijalani serentak.
Ketika Richard meninggalkan mahkamah Old Bailey selepas hukuman dijatuhkan, seorang wanita di galeri awam menjerit: “Hukuman mati seribu kali pun masih ringan untuk kau!”