Ribut tropika Pabuk: Penerbangan dibatalkan, lapangan terbang ditutup
Isabelle Leong
Januari 4, 2019 16:58 MYT
Januari 4, 2019 16:58 MYT
JIKA anda sudah mengemas bagasi untuk menikmati percutian singkat ke Koh Samui, Thailand pada hujung minggu ini, anda mungkin perlu berfikir dua kali.
Beberapa lapangan terbang di pulau-pulau peranginan Thailand ditutup dan penerbangan telah dibatalkan buat sementara waktu bagi menghadapi taufan tropika Pabuk yang dijangka melanda petang Jumaat.
Antara lapangan terbang yang ditutup termasuk lapangan terbang Koh Samui, Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani yang dijangka ditutup sehingga Sabtu.
Memetik laporan Bangkok Post, Bangkok Airways telah membatalkan semua penerbangan dari dan ke lapangan terbang Koh Samui pada Jumaat bagi menjaga keselamatan penumpang, kerana ribut Pabuk sedang bergerak ke arah selatan.
Nok Airlines Pcl juga membatalkan kesemua lapan penerbangan ke dan dari wilayah Nakhon Si Thammarat.
Penutupan lapangan terbang antarabangsa Surat Thani menyebabkan pembatalan penerbangan oleh Nok Airlines, Lion Air dan anak syarikat penerbangan nasional Thai Airways, Thai Smile.
Menurut Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana, 6,176 orang telah dipindahkan ke pusat perlindungan dari Nakhon Si Thammarat serta wilayah Pattani, Songkhla dan Yala.
Pada Khamis, perkhidmatan feri ke dan dari pulau Koh Samui Thailand dihentikan seketika sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ribut tropika Pabuk.