Ribut tropika Noru: Laos keluar amaran tanah runtuh, banjir

Bernama
September 24, 2022 04:20 MYT
Hujan lebat dan angin kencang akan menjejaskan wilayah utara dan tengah, termasuk Vientiane, ibu negara Laos. - Gambar hiasan
VIENTIANE: Biro cuaca Laos mengeluarkan amaran kemungkinan tanah runtuh, banjir, angin kencang dan hujan lebat bakal melanda berikutan ribut tropika Noru, lapor Xinhua.
Menurut Jabatan Meteorologi dan Hidrologi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Laos pada Jumaat, ribut itu menuju ke arah utara Filipina dari Sabtu hingga Ahad, kemudian bergerak ke Vietnam pada Isnin.
Ribut itu dijangka tiba di Laos dari Selasa hingga Rabu, membawa hujan sederhana hingga lebat ke seluruh negara.
Menurut ramalan biro itu hujan lebat dan angin kencang akan menjejaskan wilayah utara dan tengah, termasuk Vientiane, ibu negara Laos.
Pihak berkuasa Laos memberi amaran supaya orang ramai berhati-hati dan menasihatkan penduduk di kawasan berisiko bersiap sedia menghadapi perubahan cuaca yang mendadak.
Hujan lebat di Laos pada Ogos mencetuskan banjir yang merosakkan rumah dan infrastruktur serta menenggelamkan ratusan hektar tanah ladang di banyak wilayah dan di Vientiane.
-- BERNAMA
#Ribut tropika Noru #laos #Amaran Cuaca #tanah runtuh
;