Ribut Tropika Mun dijangka bawa hujan ribut di Thailand
Bernama
Julai 3, 2019 23:19 MYT
Julai 3, 2019 23:19 MYT
Ribut tropika Mun dijangka menyebabkan hujan ribut di Thailand sehingga Khamis, kata Jabatan Meteorologi Thailand.
Ketua Pengarahnya, Phuwieng Prakhammintara berkata ribut tropika Mun yang menghampiri Teluk Tonkin, 290km tenggara Hanoi, Vietnam dengan kelajuan angin maksimum kira-kira 65 kilometer sejam (km/j) membadai pukul 4 petang Rabu.
Beliau berkata Mun bergerak ke barat-barat laut pada kelajuan 15km/j dan dijangka melanda Vietnam malam ini.
"Hujan lebat dengan angin kencang juga mungkin melanda Thailand, terutama di Utara, Timur Laut, Tengah dan Timur.
"Orang ramai perlu mengetahui keadaan teruk yang mungkin menyebabkan banjir kilat," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menggesa pelancong untuk mengikuti perkembangan cuaca dengan teliti.
Sementara itu, Phuwieng berkata angin kencang dengan ombak setinggi dua hingga tiga meter tinggi dijangka berlaku di kawasan hujan dengan ribut petir berikutan monsun barat daya yang lebih bergelora melintasi Laut Andaman dan Teluk Thailand.
Beliau berkata keadaan cuaca adalah bahaya dan bot-bot kecil dinasihatkan berada di daratan.
Menurut stesen kaji cuaca AccuWeather yang berpangkalan di Amerika Syarikat, ribut tropika yang terbentuk di Laut China Selatan pada Isnin semakin bergelora apabila merapati Ribut Tropika Mun pada Selasa dan akan menyebabkan hujan lebat di beberapa bahagian di China dan Vietnam selama beberapa hari minggu ini.
Ribut tropika "Mun" dijangka mengakibatkan banjir, tanah runtuh di China dan Vietnam minggu ini. -- Bernama