Ribut Tropika Kristine: 4 negara ASEAN hantar bantuan ke Filipina

Bernama
Oktober 26, 2024 19:15 MYT
Empat negara Asia Tenggara menghantar bantuan ke Filipina berikutan kemusnahan yang disebabkan oleh Ribut Tropika Kristine (Trami). - Gambar fail/REUTERS
MANILA: Empat negara Asia Tenggara - Singapura, Brunei, Malaysia dan Indonesia - menghantar bantuan ke Filipina untuk menyokong usaha pemulihan berikutan kemusnahan yang disebabkan oleh Ribut Tropika Kristine (Trami), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Semasa satu forum berita di Quezon City pada Sabtu, Pentadbir Pejabat Pertahanan Awam (OCD) merangkap Timbalan Setiausaha Ariel Nepomuceno berkata Singapura akan menggunakan aset udaranya untuk membantu dalam menyampaikan bantuan kepada wilayah yang terjejas.
"Walaupun sekali lagi kami tidak mempunyai masalah dengan barang bantuan, tetapi negara lain sedang membantu kami iaitu - ia automatik bagi Brunei, Malaysia, Singapura, dan Indonesia untuk membantu - itu rasmi. Mereka juga telah menghantar aset udara mereka," katanya.
Nepomuceno tidak menyebut butiran lanjut mengenai bantuan itu tetapi menyatakan bahawa sebarang bantuan tambahan adalah "tanda solidariti dengan rakan kongsi kami."
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Pertahanan Singapura mengesahkan bahawa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sedang mengerahkan sebuah pesawat pengangkut C-130 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) untuk membantu dalam usaha kemanusiaan di negara itu.
"Sumbangan SAF menggariskan hubungan dua hala dan pertahanan yang mesra serta kerjasama erat Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) antara Singapura dan Filipina," katanya.
Pesawat C-130 RSAF akan menyediakan sokongan pengangkutan udara untuk menghantar bekalan bantuan kemanusiaan kepada komuniti yang terjejas akibat ribut.
-- BERNAMA
#ribut tropika kristine #Filipina #ASEAN #bantuan
;