Ribut salji ngeri, angka kematian cecah 37 orang di New York
Astro Awani
Disember 29, 2022 10:45 MYT
Disember 29, 2022 10:45 MYT
ANGKA kematian akibat ribut salji dilaporkan terus meningkat kepada 37 orang di Erie County, New York, sehingga Rabu.
Menurut laporan CNN, pihak berkuasa memaklumkan beberapa mayat ditemui petugas ketika membersihkan timbunan salji, sekali gus menjawab persoalan kehilangan penduduk yang tidak dapat dihubungi sejak bencana itu melanda.
Dalam masa sama, sekurang-kurangnya 25 penduduk di 11 negeri di Amerika Syarikat dilaporkan meninggal dunia akibat tertimbus di bawah salji setebal 52 inci di bandar Buffalo.
Situasi ini juga membuatkan ribuan penduduk New York terperangkap di rumah tanpa alat pemanas disebabkan bekalan eletrik terputus pada hujung minggu lalu.
Eksekutif Erie County, Mark Poloncarz dalam satu sidang media menyifatkan ribut salji tahun ini amat mengerikan kerana terlalu banyak kematian.
Sehubungan itu, pihak berkuasa turut meninjau keadaan penduduk dan menjalankan pemeriksaan kesihatan dari rumah ke rumah.
“Pasukan petugas perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS) sedang memeriksa lokasi panggilan kecemasan yang tidak dapat dihubungi semula semasa ribut.
"Manakala pengawal kebangsaan memeriksa setiap rumah di kawasan kejiranan yang terputus bekalan eletrik,” katanya yang bimbang individu yang tinggal bersendirian mungkin terkorban dalam.
Sehingga kini, Polis Buffalo terus menyaring panggilan 911 termasuk permintaan pemeriksaan kebajikan sejak ribut salji bermula.
“Kami masih mempunyai antara 200 dan 300 panggilan untuk disemak,” kata Pesuruhjaya Joseph A. Gramaglia.
Jurucakap Poloncarz, Peter Anderson memberitahu, proses pembersihan di lorong-lorong berdepan kesukaran kerana ratusan kenderaan ditinggalkan di kebanyakan lokasi salji tebal.
Daerah Buffalo turut dikawal oleh 100 polis tentera termasuk Polis Negeri New York, untuk menguruskan keadaan lalu lintas.