Ribut salji luar biasa badai Sepanyol, lapangan terbang Madrid ditutup
Agensi
Januari 9, 2021 14:08 MYT
Januari 9, 2021 14:08 MYT
MADRID: Ribut salji yang melanda Sepanyol membuatkan ribuan pemandu di negara itu terperangkap di dalam kenderaan masing-masing di atas jalan raya, berikutan banyak laluan dihalang pihak berkuasa manakala lapangan terbang Madrid juga ditutup.
Reuters melaporkan, lebuh raya utama M-30 dan M-40 berdekatan Madrid adalah antara 400 laluan utama yang dilanda ribut salji, sekali gus menjejaskan aliran lalu lintas.
Pihak berkuasa trafik menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengelakkan perjalanan yang tidak penting berikutan deruan salji yang dahsyat.
"Saya dalam pemanduan ke hospital untuk menjenguk suami saya, dan kini terperangkap di sini selama tiga jam. Sepatuitnya perjalanan ini ambil masa 15 minit saja,” keluh seorang wanita kepada media tempatan.
Pakar meteorologi menjangkakan jatuhan salji akan mencapai ukuran 20 sentimeter, manakala suhu terus menjunam.
Anggota pasukan Palang Merah pula sibuk menyampaikan bantuan makanan kepada pemandu lori yang terperangkap di lebuh raya A4 di Madrid.
Bagaimanapun, masih ada yang ingin mencari keseronokan dengan kehadiran salji itu.
Para peluncur salji meneruskan aktiviti di plaza Puerta del Sol di tengah bandar raya Madrid, manakala di media sosial, tertular sebuah video menunjukkan seorang lelaki menaiki kenderaan salji yang ditarik sekumpulan anjing, di jalanan ibu kota itu.
Pasukan bola sepak Real Madrid yang hendak ke Pamplona untuk perlawanan La Liga dengan Osasuna, terpaksa duduk diam di dalam pesawat selama empat jam di lapangan terbang Madrid sebelum dapat berlepas.
Penduduk Madrid dan lapan wilayah lain sudahpun menerima amaran tentang cuaca terburuk itu sejak sistem berkenaan diperkenal pada tahun 2007.
Taman-taman awam di ibu negara, termasuk taman awam Retiro yang berdekatan dengan Muzium Prado, juga ditutup sebagai langkah berjaga-jaga.
"Saya keluar untuk menikmati salji. Tak banyak perkara yang boleh dibuat kebelakangan ini gara-gara pandemik,” ujar seorang eksekutif pemasaran, Juan Jose, 24, di Retiro Park.
Perkhidmatan kereta api laju antara Madrid dan bandar-bandar di sebelah Tenggara seperti Alicante dan Valencia juga ditangguh sementara.
Suhu rekod iaitu 35.6 darjah Celsius di bawah paras beku juga dicatatkan di Vega de Lourdes in Leon, utara Sepanyol.