Ribut salji landa AS, 4,400 penerbangan dibatalkan

Faida Rahim
Disember 23, 2022 11:10 MYT
Sebanyak 8,450 penerbangan lagi ditangguhkan pada Khamis termasuk lebih satu pertiga daripada yang dikendali oleh syarikat penerbangan Amerika, United Airlines dan Southwest Airlines - Foto AP/Nam Y. Huh
NEW YORK: Lebih 4,400 penerbangan dibatalkan dalam tempoh dua hari selepas ribut salji melanda Amerika Syarikat ketika lapangan terbang mula sibuk menjelang musim cuti Krismas.
Memetik CNA, laman web jejak penerbangan FlightAware menunjukkan lebih daripada 2,350 penerbangan Amerika Syarikat (AS) dibatalkan semalam manakala 2,120 penerbangan batal pada hari ini.
Dalam pada itu, perkhidmatan kereta api Amtrak membatalkan puluhan perjalanan kereta api menjelang Krismas sekali gus mengganggu perjalanan percutian ribuan penumpang.
Sebanyak 8,450 penerbangan lagi ditangguhkan pada Khamis termasuk lebih satu pertiga daripada yang dikendali oleh syarikat penerbangan Amerika, United Airlines dan Southwest Airlines.
Southwest membatalkan 865 penerbangan semalam, dianggarkan satu perlima daripada kesemua penerbangan yang dijadualkan serta membatalkan 550 lagi hari ini (Jumaat).
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan memaklumkan ribut musim sejuk membawa keadaan ribut salji di Midwest dan dijangka berlaku gangguan perjalanan utama di Chicago, Detroit dan Minneapolis-St Paul.
Delta Air Lines, yang membatalkan 140 daripada 4,400 penerbangan pada Khamis dan 90 pada hari ini mengeluarkan amaran "pembatalan tambahan akan diperlukan pada hari Jumaat memandangkan ribut salji terus memberi kesan kepada operasi di Detroit dan Timur Laut".
Awal minggu ini, syarikat penerbangan AS mengetepikan caj perubahan dan perbezaan tambang bagi penumpang di kawasan yang terjejas.
#Amerika Syarikat #United Airlines #Flightaware #ribut salji
;