Ribut salji ganggu penerbangan di Lapangan Terbang Jeju
Bernama
Februari 7, 2025 21:56 MYT
Februari 7, 2025 21:56 MYT
Korea Selatan yang dilanda ribut salji mengakibatkan kesulitan kepada rutin harian masyarakatnya, selain mengganggu kelancaran operasi pengangkutan darat dan udara. - Reuters
JEJU (Korea Selatan): Salji lebat dan angin kencang menjejaskan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju, pintu masuk ke Pulau Jeju di selatan negara itu, pada Jumaat, mengakibatkan pembatalan penerbangan secara besar-besaran, lapor agensi berita Yonhap.
Setakat 3 petang, 102 penerbangan perlepasan domestik, 121 penerbangan ketibaan domestik dan 16 penerbangan antarabangsa yang dijadualkan mendarat atau berlepas dari lapangan terbang Jeju telah dibatalkan, menurut pegawai lapangan terbang.
Selain itu, 25 ketibaan domestik, 21 perlepasan domestik dan satu penerbangan antarabangsa mengalami kelewatan, dengan kira-kira 15,000 pelancong terkandas di pulau itu akibat gangguan penerbangan.
Korean Air membatalkan semua penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Jeju bermula 10 pagi.
Dengan amaran angin kencang dan angin ricih dikeluarkan untuk lapangan terbang Jeju, ribut salji sekali-sekala menyebabkan gangguan terhadap operasi lapangan terbang, menurut pegawai.
Mereka turut menjelaskan bahawa pembatalan penerbangan turut dipengaruhi oleh salji lebat di lapangan terbang wilayah lain.
-- BERNAMA