Ribut salji: Dana kecemasan akan disegerakan - Harris
Astro Awani
Februari 17, 2021 05:49 MYT
Februari 17, 2021 05:49 MYT
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris memberi jaminan, kerajaan sedang berusaha untuk memberikan bantuan dana kepada rakyatnya yang terjejas akibat ribut salji.
Ia terutamanya terhadap mereka di Texas dan beberapa bandar lain yang terputus bekalan elektrik serta berdepan cuaca sejuk beku.
Dalam temu bual bersama NBS melalui program 'Today', Harris mengakui, walaupun mereka yang terjejas tidak dapat menonton ucapan beliau dan Presiden, Joe Biden, kerajaan katanya akan memastikan bantuan kepada mereka ini akan disegerakan dengan menandatangani bantuan kecemasan kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas.
“Jadi dalam keadaan kecemasan, masalah besar perlukan penyelesaian yang besar dan kami telah berbincang dengan teliti.
“Apa yang penting sekarang adalah bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas. Ini termasuk dana bantuan untuk sekolah, dana untuk vaksinasi dan pengedarannya.
"Bantuan untuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan membantu mereka untuk meneruskan kehidupan mereka. Ini apa yang rakyat Amerika Syarikat perlukan ketika ini,” katanya.
Setakat ini, lebih tiga juta rakyat di Texas dan tujuh lagi daerah terputus bekalan elektrik akibat ribut salji.