Ribut Pia: Penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol dibatalkan pada Khamis

Bernama
Disember 21, 2023 16:52 MYT
Lapangan terbang itu pada Rabu berkata penumpang dijangkakan menghadapi kelewatan kerana hanya satu landasan beroperasi. - AP
AMSTERDAM: Kira-kira 200 penerbangan di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam dibatalkan pada Khamis berikutan angin kencang yang dicetuskan oleh ribut Pia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Lapangan terbang itu pada Rabu berkata penumpang dijangkakan menghadapi kelewatan kerana hanya satu landasan beroperasi mulai tengah hari. Tiupan angin dijangkakan mencecah sehingga 90 kilometer sejam.
Pengendalian bagasi juga dijangkakan terjejas.
Ribut yang bergerak dari hujung Greenland ke arah Scotland itu dijangka membadai Belanda dan selatan Scandinavia sebelum menyeberangi Laut Baltik pada Jumaat.
Perkhidmatan cuaca Royal Netherlands Meteorological Institute (KNMI) mengeluarkan amaran cuaca buruk untuk seluruh Belanda dengan kelajuan angin sehingga 110 kilometer sejam di pantai utara.
Belanda juga sedang bersiap sedia untuk menghadapi banjir di sungai utama seperti Rhine dan Waal, disebabkan hujan lebat di kawasan tadahan dan pencairan salji di Alps.
-- BERNAMA
#ribut pia #lapangan terbang schiphol #angin kencang #penerbangan batal
;