Ribut petir diramal landa Makkah - meteorologi Saudi

Sinar Harian
Ogos 18, 2018 07:32 MYT
Tinjauan pemantauan pergerakan jemaah Haji sekitar Kompleks Jamrat, Mina dan Masjid Al Haram oleh Pasukan Keselamatan Arab Saudi setiap hari menggunakan helikopter pelbagai guna Sikorsky dari udara. --fotoBERNAMA
Pihak berkuasa meteorologi Arab Saudi meramalkan ribut petir disertai angin kencang melanda wilayah Jazan, Asir, Baha dan Makkah pada Ahad.
Kawasan di tengah dan timur negara itu turut diramal berdepan cuaca buruk.
Agensi itu dalam laporannya berkata bahawa pergerakan angin di Laut Merah dari arah utara ke barat adalah berkelajuan 15 hingga 40 kilometer sejam (km/jam) dengan ombak mencapai satu hingga dua meter.
Manakala pergerakan angin di Teluk Arab dari arah utara ke barat daya berkelajuan 15-35 km/jam.
Tahun lalu, hujan lebat selama dua jam menyebabkan banjir kilat yang melumpuhkan bandar kedua terbesar Arab Saudi, Jeddah, sehingga memaksa banyak sekolah dan universiti ditutup.
Pihak berkuasa terpaksa bergelut dengan pelbagai kes kecemasan melibatkan litar pintas dan kecederaan akibat kejutan elektrik.
Pada November 2011, Jeddah dilanda banjir mengakibatkan seramai 123 orang terbunuh dan banyak rumah dan bangunan rosak teruk.
Dua tahun selepas itu, bencana sama mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 nyawa melayang. - Agensi
#angin kencang #Arab Saudi #banjir #cuaca buruk #Jeddah #kes kecemasan #Laut Merah #Makkah #meteorologi #ribut petir
;