Ribuan warga Ramallah sambut tahun baharu dengan bersolidariti bersama Semenanjung Gaza

Bernama
Januari 1, 2024 21:52 MYT
Peserta himpunan mendesak penamatan segera perang Israel ke atas Gaza, yang berterusan selama 87 hari dan meragut nyawa puluhan ribu rakyat Palestin. - X @PalestinNW
RAMALLAH: Ribuan warga Palestin menyambut Tahun Baru pada Ahad malam dengan menyertai perhimpunan besar-besaran di bandar Ramallah di Tebing Barat sebagai solidariti dengan warga Palestin di Semenanjung Gaza.
Mereka mendesak penamatan segera perang Israel ke atas Gaza, yang berterusan selama 87 hari dan meragut nyawa puluhan ribu rakyat Palestin, terutamanya kanak-kanak dan wanita, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Peserta perhimpunan mengangkat gambar dan nama-nama rakyat Palestin yang terbunuh dalam pengeboman Israel tanpa henti dari udara, darat dan laut.
Mereka turut melaungkan slogan yang mengecam jenayah pendudukan Israel dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan terhadap penduduk Gaza dengan menyeru perpaduan nasional untuk menghadapi jenayah perang Israel.
Selain itu mereka menggesa masyarakat antarabangsa untuk segera campur tangan, menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan menyediakan perlindungan kepada penduduk Palestin.
-- BERNAMA
#Ramallah #Solidariti Palestin #Gaza #tahun baharu 2024
;