Ribuan tunaikan solat Subuh di Hagia Sophia
Agensi
Julai 26, 2020 21:20 MYT
Julai 26, 2020 21:20 MYT
Ribuan orang menunaikan solat Subuh di Hagia Sofia di Istanbul pada pagi Ahad selepas bangunan bersejarah itu ditukar semula menjadi masjid pada Jumaat.
Anadolu Agency melaporkan kebanyakan orang yang menunaikan solat di masjid itu bermalam di sekitar Hagia Sofia bagi memastikan mereka tidak terlepas untuk menunaikan solat Subuh di sana.
Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya merupakan salah seorang daripada mereka.
Menepis kritikan antarabangsa, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan memutuskan untuk memulihkan bangunan ikonik itu sebagai masjid awal bulan ini.
Keputusan itu dibuat tidak lama selepas mahkamah tinggi Turki memutuskan bahawa Hagia Sophia dengan secara tidak sah dijadikan sebagai muzium lebih dari lapan dekad yang lalu.
Struktur itu, yang disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO, telah dinamakan semula sebagai "Masjid Besar Hagia Sophia."
Turki telah berjanji untuk melindungi artifak Hagia Sophia dan mengatakan bahawa ia akan tetap terbuka untuk lawatan oleh orang Islam dan bukan Islam di luar waktu solat.
Puluhan ribu umat Islam membanjiri Hagia Sophia di Istanbul bagi mengambil bahagian dalam solat Jumaat pertama di masjid tersebut selepas 86 tahun.
Malah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menyertai para jemaah menunaikan ibadah itu.
Peluang keemasan itu tidak dilepaskan umat Islam di Turki apabila ada yang sanggup menunggu di luar bangunan malam Khamis.
Walaupun ramai yang menghadiri momen bersejarah itu, langkah pencegahan COVID-19 masih dilakukan termasuk penjarakan sosial dan pemakaian pelitup muka.
#Erdogan
#Hagia Sophia
#Islam
#Istanbul
#mahkamah
#masjid
#penjarakan sosial
#presiden
#Recep Tayyip Erdogan
#Solat Jumaat
#Turki
#Unesco