Ribuan sertai perhimpunan sambut 'Hari Genosid Rohingya' di Bangladesh
Bernama
Ogos 25, 2023 23:18 MYT
Ogos 25, 2023 23:18 MYT
KUTUPALONG (Bangladesh): Hujan lebat tidak menghalang ribuan penduduk Islam Rohingya menyertai perhimpunan di kem pelarian di selatan Bangladesh untuk menuntut keadilan terhadap kekerasan yang dilakukan tentera Myanmar ke atas mereka enam tahun lalu.
"Kami berdiri di sini hari ini sebagai mangsa yang terselamat, saksi dan mangsa pembunuhan beramai-ramai," kata pemimpin Rohingya Mohammad Jubair pada Jumaat, di kem pelarian Kutupalong di bandar Cox's Bazar, sempena ulang tahun keenam Hari Peringatan Genosid Rohingya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata usaha mendapatkan keadilan daripada masyarakat antarabangsa masih belum berhasil.
Perhimpunan anjuran Solidariti Arakan Rohingya untuk Keamanan dan Hak Asasi Manusia (ARSPH) itu diadakan di 34 kem yang menempatkan lebih sejuta penduduk Islam Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar.
Penganjur berkata lebih 20,000 pelarian menyertai perhimpunan itu.
Pada 25 Ogos 2017, hampir 750,000 Rohingya menyeberang ke Bangladesh susulan kekerasan tentera terhadap kumpulan minoriti itu. Ramai lelaki Rohingya diseksa dan wanita dirogol oleh tentera.
Jubair yang juga pengerusi ARSPH menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyepadukan usaha ke arah mencari penyelesaian menyeluruh terhadap krisis Rohingya, dengan memberi lebih banyak tekanan yang berkesan ke atas Myanmar.
-- BERNAMA