Ribuan puak Kurdis berkumpul bantah pembunuhan aktivis
Astro Awani
Januari 13, 2013 11:09 MYT
Januari 13, 2013 11:09 MYT
Ribuan puak Kurdis dari seluruh eropah berhimpun di Paris bagi membantah pembunuhan tiga aktivis yang ditembak mati di ibu negara Perancis itu Khamis lalu.
Perhimpunan diadakan di sebuah kawasan perumahan lokasi di mana mayat Sakine Cansiz dan dua lagi aktivis dibunuh.
Cansiz merupakan pengasas pejuang Kurdis yang menuntut autonomi daripada pentadbiran Turki sejak tiga dekad lalu.
Ekoran itu, kumpulan protes itu mendakwa pembunuhan berkenaan didalangi Turki dan mahu kes itu diselesaikan dengan adil.
Bagaimanapun Turki dalam reaksi segera menafikan terlibat dalam insiden tersebut.
Turki sebaliknya mendakwa pembunuhan berkenaan sengaja dirancang bagi menggagalkan rundingan damai antara pemimpin negara itu dengan ketua parti pekerja Kurdistan atau PKK yang kini dalam tahanan penjara.
Perkembangan terbaru itu secara tidak langsung menjadikan Perancis kini berada dalam keadaan tersepit.
Ini kerana pentadbiran Presiden Francois Hollande sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan Turki.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Turki, RecepTayyip Erdogan menggesa Perancis supaya segera menjelaskan tentang pembunuhan tiga aktivis Kurdis berkenaan.
Erdogan pada masa sama menggesa Hollande menjelaskan mengapa beliau mengadakan pertemuan dengan ahli pemberontak PKK.