Ribuan penyokong berkerumun: 'Denda 50 juta Rupiah pada Rizieq Shihab tidak cukup!'

Agensi
November 16, 2020 19:33 MYT
Ketaksuban beribu-ribu penyokong kuat Rizieq menyukarkan aspek penjarakan fizikal di beberapa acara sejak kepulangan tokoh agama itu ke Indonesia. - AP
JAKARTA: Ulama tersohor Indonesia, Rizieq Shihab yang didenda sebanyak 50 juta Rupiah (kurang RM15,000) kerana mencetuskan keramaian umum dalam siri aktiviti sejak kepulangannya ke republik itu, dilihat tidak setimpal dengan risiko kesihatan yang boleh terjadi pada bila-bila masa.
Portal berita Kompas.com melaporkan, Guru Besar Fakulti Kesihatan Masyarakat Universitas Indonesia, Hasbullah Thabrany, menyifatkan denda yang dikenakan ke atas Rizieq oleh pihak berkuasa polis Jakarta itu masih murah jika dibandingkan kerugian besar yang mungkin ditanggung negara itu akibat COVID-19.
“Banyak yang memberi komen apabila Rizieq didenda sebanyak itu. Tapi, pada pandangan saya, denda sebegitu masih kecil,” ujarnya.
Hasbullah ternyata tidak setuju dengan acara yang dihadiri ribuan pengikut Rizieq itu dalam sekurang-kurangnya tiga acara – menyambut kepulangan Rizieq di lapangan terbang, menganjurkan acara Maulud Nabi dan melangsungkan acara pernikahan anak perempuannya.
Dalam setiap lokasi dan acara keramaian itu, aspek menjaga penjarakan fizikal langsung tidak dipedulikan.
“Jika ada 10 orang dijangkiti COVID-19, maka pemerintah harus keluar belanja sekitar 1 bilion Rupiah. Itu kalau 10 orang, dan kita tidak tahu jika jangkitan terjadi hingga beratus-ratus.
“Maka gara-gara kenduri besar itu, wang negara habis 10 kali ganda - juta sudah jadi bilion. Lebih baik wang itu digunakan untuk membiaya masjid,” tegas Hasbullah yang mengingatkan, jika melibatkan keluarga si mati, lebih banyak kos akan terbabit.
“Nyawa tidak ada harganya. Masyarakat perlu berhenti mendatangi keramaian,” katanya.
Portal berita Detik.com pula melaporkan, pakar epidemiologi dari Universitas Indonesia (UI), Iwan Ariawan, melihat denda berjumlah 50 juta Rupiah yang dikenakan ke atas Rizieq oleh pihak berkuasa polis Jakarta amat tidak setimpal dengan situasi yang terjadi.
"Tidak cukup (denda). Langkah seterusnya perlu dicegah keramaian itu. Jangan diberikan izin untuk berkumpul dan dibubarkan jika orang susah berkerumun.
"Jumlah denda perlu bergantung pada peraturan. Tidak cukup, maksud saya, tidak boleh dikenakan denda sahaja, Selanjutnya perlulah tidak diberi izin (keramaian) atau dibubar sahaja,” tegasnya, dalam satu wawancara pada Ahad.
Penganjuran Maulid Nabi dan pernikahan yang diselenggarakan Rizieq pada Sabtu malam lalu di Petamburan menjadi buah mulut ramai di republik itu kerana mencetuskan keadaan keramaian hingga sukar mematuhi protokol kesihatan dalam tempoh pandemik.
Sementara itu, polis Jakarta memberi respons bahawa denda 50 juta Rupiah ke atas Rizieq itu adalah bersesuaian dengan perkara yang tertulis dalam Peraturan Gabenor (Jakarta), iaitu tentang pelanggaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan, dan pihaknya telah melakukan sehabis baik usaha untuk melarang keramaian itu daripada terjadi.
Surat denda itu disampaikan kepada penganjur acara Rizieq oleh polis pada Sabtu atas arahan Gabenor Jakarta, Anies Baswedan. Denda tersebut adalah yang tertinggi pernah dikeluarkan, namun menurut Anies, jumlah itu boleh digandakan jika hal keramaian itu berulang lagi.
Untuk jumlah denda pertama itu, difahamkan keluarga Rizieq sudahpun membayar terus secara tunai.
BACA: COVID-19 bukan alasan lautan manusia sambut kepulangan Habib Rizieq
#Habib Rizieq #Rizieq Shihab #FPI #penjarakan fizikal #SOP #pandemik #Indonesia #jangkitan #COVID-19 #rizieq didenda #ulama indonesia
;