Ribuan penumpang terkandas di UK akibat 'kesalahan' kawalan trafik udara
Agensi
Ogos 29, 2023 08:15 MYT
Ogos 29, 2023 08:15 MYT
LONDON: Syarikat-syarikat penerbangan mengeluarkan amaran akan berlaku kelewatan penerbangan di United Kingdom (UK) akibat ‘kesalahan’ kawalan lalu lintas udara
Sehubungan itu, ribuan penumpang dijangka mengalami kelewatan yang lebih lama dan pembatalan penerbangan selepas "isu teknikal" mengganggu sistem kawalan lalu lintas udara UK.
Sejumlah besar penumpang terperangkap di UK dan negara-negara luar selepas Perkhidmatan Lalu Lintas Udara Kebangsaan membataskan jumlah pesawat yang mendarat.
Serentak itu, syarikat-syarikat penerbangan dan lapangan terbang memberi amaran bahawa masih ada "kelewatan yang ketara" walaupun isu tersebut dapat diperbaiki dalam beberapa jam.
Seorang penumpang memberitahu BBC News, penerbangannya yang pada asalnya dijadualkan pada tengah hari dijangka tidak akan berlepas sehingga selepas tengah malam.
Amaran juga telah dikeluarkan bahawa beberapa gangguan teknikal boleh berpanjangan selama beberapa hari.
Menjelang Isnin tengah malam, pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow memaklumkan, jadual penerbangan masih terjejas secara ketara, seraya memberi peringatan kepada penumpang yang akan berlepas pada Selasa agar menghubungi syarikat penerbangan terlebih dahulu sebelum bergerak ke lapangan terbang.
Lapangan Terbang Gatwick merancang untuk beroperasi seperti biasa pada hari Selasa, tetapi menasihatkan penumpang untuk memeriksa status penerbangan mereka terlebih dahulu sebelum ke lapangan terbang.
Sementara Lapangan Terbang London Luton pula memberitahu, penerbangan di seluruh ruang udara UK masih tertakluk kepada kelewatan dan pembatalan,
Nasihat sama dititipkan kepada penumpang agar membuat pemeriksaan dengan syarikat penerbangan mengenai status penerbangan mereka.
Beberapa lapangan terbang dan syarikat penerbangan UK termasuk British Airways (BA), Virgin Atlantic dan TUI mengalami kelewatan dan pembatalan pada hari Isnin.
Menurut BA, terdapat "kelewatan dan pembatalan yang ketara dan tidak dapat dielakkan" dan memohon maaf atas segala kesulitan.
Syarikat penerbangan itu menambah pelanggan yang sepatutnya berlepas pada hari Isnin dan Selasa mungkin dapat mengubah penerbangan mereka secara percuma ke tarikh yang lebih lewat.
Ryanair pula mengumumkan, mereka terpaksa menangguhkan atau membatalkan beberapa penerbangan, manakala, Jet2 menjangkakan kelewatan yang ketara pada semua penerbangan dari dan ke UK.
Kata Ryanair, penumpang untuk penerbangan pada hari Selasa sepatutnya bergerak ke lapangan terbang seperti biasa kecuali diberitahu sebaliknya.
Penganalisis penerbangan, Sally Gethin berkata, gangguan selepas kesalahan teknikal ini akan berlangsung selama beberapa hari.
"Syarikat penerbangan akan menghadapi masalah besar sekarang… bagaimana mahu menjaga kebajikan pelanggan dan merancang semula pesawat dalam jadual penerbangan yang normal," katanya kepada BBC News.
"Saya fikir kita akan melihat gangguan yang ketara dalam beberapa jam dan esok dan saya fikir bagi sesetengah orang, ia boleh memberi kesan berterusan hingga ke akhir minggu ini." - Agensi
#United Kingdom
#penumpang terkandas
#kesalahan kawalan trafik udara
#Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow