Ribuan penduduk Islam China protes keputusan robohkan masjid bersejarah
Agensi
Ogos 11, 2018 20:33 MYT
Ogos 11, 2018 20:33 MYT
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di hadapan sebuah masjid di China yang dilaporkan akan dirobohkan berikutan arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah negara itu.
Ia susulan arahan kerajaan China yang mahu menetapkan had kebebasan beragama termasuk bagi umat Islam, selaras dengan kepercayaan Parti Komunis di negara itu.
Video dan foto mula tular di media sosial apabila ratusan penunjuk perasaan telah mula berhimpun di hadapan masjid di bandar Weizhou di daerah Ningxia sejak Khamis.
Memetik laporan antarabangsa, penduduk tempatan memberitahu bahawa masjid tersebut mahu dirobohkan kerana dikatakan sebuah bangunan yang tidak berdaftar. Bagaimanapun, masjid itu mempunyai pelbagai sejarah sejak kewujudannya beratus tahun dahulu.
Penduduk tempatan menggelar masjid itu sebagai ‘Masjid Weizhou’, namun perkataan itu tidak akan dapat dicari dalam carian menerusi Twitter di negara itu. Begitu juga dalam laman web Weibo.
Struktur masjid itu telah melalui proses pembangunan semula pada dua tahun lalu, namun berdasarkan dokumen kerajaan, proses pelesenan tidak dijalankan dengan betul dan beberapa pihak berkuasa telah menerima ‘amaran serius’.
Buat masa ini, bukan sahaja penduduk tempatan yang meluahkan rasa tidak puas hati atas keputusan tersebut, malah pengguna media sosial seluruh dunia juga meluahkan bantahan.