Ribuan penduduk dipindahkan di Selatan California akibat kebakaran hutan 'Apple Fire'
Agensi
Ogos 2, 2020 16:52 MYT
Ogos 2, 2020 16:52 MYT
RIBUAN penduduk di Selatan California diarah berpindah pada Sabtu selepas kebakaran hutan mula mereka sehingga memusnahkan sebuah kediaman.
Kebakaran yang bermula dari dua kebakaran berbeza dan berdekatan dilaporkan sekitar jam 5 petang waktu tempatan pada Jumaat di kawasan desa Cherry Valley.
Kawasan tersebut merupakan sebuah kawasan yang tidak diperbadankan berhampiran bandar Beaumont di Riverside County.
Kira-kira 375 anggota bomba dikerahkan ke tempat kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran tersebut yang turut merangkumi kaedah dari udara.
Kebakaran yang digelar Apple Fire itu bertambah buruk semalaman dan merebak sehingga 46 kilometer per segi.
Susulan itu, kira-kira 7,800 penduduk tempatan dari lebih 2,500 kediaman diarahkan berpindah.
Malah, ratusan penduduk di utara Beaumont diwajibkan berpindah bagi mengurangkan risiko bahaya.
Menurut Perkhidmatan Cuaca Nasional, amaran cuaca panas dilaporkan pada tahap tertinggi ketika selatan California kini berada di tengah gelombang panas.
Cuaca di Palm Springs pada Sabtu dilaporkan pada kadar 41 darjah celcius.