Ribuan penduduk Australia Selatan alami gangguan bekalan elektrik akibat ribut petir
Bernama
Jun 7, 2023 13:22 MYT
Jun 7, 2023 13:22 MYT
CANBERRA: Ribuan penduduk di Australia Selatan terputus bekalan elektrik selepas ribut petir melanda negeri itu yang menyasikan lebih 65,000 kilat direkodkan berlaku dalam tempoh 24 jam pada Rabu, lapor Xinhua.
Setakat pukul 6 pagi waktu tempatan, lebih 10,000 rumah dan perniagaan masih mengalami gangguan bekalan elektrik, kebanyakannya di Adelaide dan bandar sekitarnya.
Hujan lebat dilapor melanda antara 9 malam dan 10 malam pada Selasa dan antara 3 pagi dan 3.30 pagi Rabu, menyebabkan amaran ribut petir dikeluarkan.
Antara 3.30 pagi dan 4.30 pagi, perkhidmatan kecemasan negeri (SES) menerima panggilan bantuan secara purata setiap tiga minit.
SA Power Networks telah memulakan kerja-kerja baik pulih di beberapa kawasan tetapi menjangkakan lebih banyak laporan mengenai gangguan bekalan akan diterima.
Pemandu kenderaan diberi amaran untuk berhati-hati memandangkan banyak serpihan memenuhi jalan-jalan raya dan beberapa lampu isyarat lalu lintas tidak berfungsi.
Jururamal kanan dari Biro Meteorologi, Mark Anolak, berkata bahawa ribut terburuk sudah berlalu tetapi kelegaan mungkin bersifat sementara.
"Kita akan mengalami cuaca cerah sebelum hujan dan ribut petir berlarutan.
"Kebanyakan aktiviti telah bergerak ke arah timur. Kita jangkakan ribut petir dan hujan di kawasan Adelaide selepas tengah hari," katanya lapor News Corp Australia pada Rabu.
-- BERNAMA