Ribuan orang hilang tempat tinggal akibat kebakaran besar di Manila

Bernama
November 24, 2024 21:30 MYT
Sekurang-kurangnya 2,000 keluarga atau 10,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal. - Foto AP
MANILA: Ribuan orang hilang tempat tinggal selepas kebakaran besar melanda sebuah kawasan miskin di ibu negara Filipina pada Ahad, kata pegawai, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan, namun beberapa anggota bomba dilaporkan cedera.
Kebakaran bermula di kawasan perumahan Isla Puting Bato di daerah Tondo, Manila, menurut Alejandro Ramos dari Jabatan Bomba Manila.
Kebanyakan rumah di kawasan itu dibina daripada bahan ringan yang mudah terbakar dan kebakaran dengan cepat merebak ke seluruh kawasan berkenaan, yang terletak berhampiran terminal kontena di kawasan pelabuhan Manila, kata Ramos.
Sekurang-kurangnya 2,000 keluarga atau 10,000 orang dilaporkan kehilangan tempat tinggal.
"Jalan-jalan di kawasan itu sangat sempit dan dinding (terminal kontena berdekatan) sangat tinggi," kata Ramos.
"Anggota bomba terpaksa menggunakan tangga dan mencari jalan untuk memecahkan bahagian dinding untuk sampai ke kawasan komuniti."
Tentera laut dan tentera udara mengerahkan dua pesawat dan empat bot untuk membantu mengawal kebakaran, yang akhirnya berjaya dipadamkan selepas lapan jam.
Datuk Bandar Manila Honey Lacuna, berjanji untuk membantu penduduk yang terjejas akibat kebakaran besar itu.
"Kami akan memastikan mangsa menerima bantuan tunai, makanan dan bahan untuk membina semula rumah mereka," katanya dalam satu kenyataan.
"Kami akan menimbangkan pilihan untuk memindahkan penduduk yang terjejas kerana Isla Puting Bato bukan lagi tempat yang selamat untuk mereka."
-- BERNAMA
#kebakaran besar #Manila #hilang tempat tinggal #Filipina
;