Ribuan larikan diri dari Mosul berikutan pertempuran sengit
Agensi
Mac 19, 2017 09:36 MYT
Mac 19, 2017 09:36 MYT
Beribu-ribu rakyat Iraq keluar dari barat Mosul pada Sabtu ketika pertempuran sengit antara tentera Iraq dan militan Daish di Kota Lama itu terhenti seketika.
Setelah lima bulan bertempur dalam usaha menembusi kubu terakhir Daish di Iraq, tentera kerajaan telah menguasai semula kawasan yang dicengkam militan Daish di bahagian timur Iraq dan separuh dari barat Mosul, seterusnya kini tumpuan diberikan untuk mengawal Kota Lama termasuk kawasan strategik, Masjid Al-Nuri.
Ketika pertempuran, ribuan penduduk menyelamatkan diri ke kawasan bebas termasuk warga tua dan kanak-kanak.
Mereka cuba menyelinap keluar dari kawasan berbahaya yang cenderung terjadi serangan, berdepan cuaca yang tidak menentu, serta tanpa bekalan minuman dan makanan yang mencukupi.
Seramai 600,000 orang awam di bandar berkemungkinan terperangkap dalam kota itu bersama militan Daish.
Menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sekitar 255,000 orang telah dipindahkan dari Mosul dan kawasan sekitarnya sejak Oktober, termasuk lebih daripada 100,000 orang sejak kempen ketenteraan terbaru di barat Mosul bermula pada 19 Februari.
Rampasan semula Mosul ke tangan tentera kerajaan memberi tamparan hebat kepada Daish, yang dianggarkan cuma tinggal 2,000 pejuang.