Ribuan jururawat di England mula mogok dua hari

Bernama
Januari 18, 2023 23:06 MYT
Ahli kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) di 55 hospital di seluruh England tidak bekerja pada Rabu dan Khamis. - Gambar/ AP
LONDON: Beribu-ribu jururawat melancarkan mogok 48 jam di seluruh England pada Rabu menuntut gaji yang lebih baik daripada kerajaan.
Ahli kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) di 55 hospital di seluruh England tidak bekerja pada Rabu dan Khamis, menurut Agensi Anadolu.
Dalam kenyataan, RCN berkata pegawai kerajaan enggan berunding secara rasmi, "sebaliknya memilih mogok."
"Orang ramai tidak mati kerana jururawat mogok. Jururawat mogok kerana orang mati. Begitulah teruknya keadaan dalam Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) dan sudah tiba masanya Perdana Menteri memimpin perjuangan untuk masa depannya," kata Pat Cullen, setiausaha agung kesatuan.
Kesatuan pada Isnin mengumumkan 6-7 Feb sebagai tarikh mogok baharu di England dan Wales, dengan mengatakan jururawat akan melancarkan mogok baharu melainkan kemajuan dicapai menjelang akhir bulan ini.
"Jumlah jawatan jururawat yang tidak diisi hari ini tidak boleh dibiarkan menjadi lebih teruk. Bayar kakitangan kejururawatan secara adil untuk mengubah keadaan dan berikan penjagaan yang sewajarnya kepada orang ramai," kata Cullen.
Sementara itu, kakitangan NHS, aktivis dan pejuang mengadakan perhimpunan di London untuk menunjukkan solidariti terhadap semua kakitangan NHS yang mogok di seluruh negara.
-- BERNAMA
#jururawat #mogok #England #United Kingdom
;