Ribuan ikan ditemui mati akibat cuaca sejuk melampau di Greece
Astro Awani
Januari 28, 2022 10:26 MYT
Januari 28, 2022 10:26 MYT
LAGUN RICHO: Ratusan ribu ikan ditemui mati susulan ribut salji yang melanda kawasan barat laut Greece minggu ini.
Kebanyakan ikan didapati terapung di permukaan Lagun Richo di Tasik Drepano selepas suhu jatuh kepada 0 darjah Celsius.
"Kira-kira 50 tan ikan ditemui di permukaan air.
"Sepanjang saya bekerja di sini, saya tidak pernah melihat suhu jatuh serendah ini," kata nelayan, Ioannis Ouzounoglou.
Beberapa negara di Eropah kini mengalami suhu melampau yang turut menyaksikan ibu negara Greece, Athens diselubungi salji tebal.
Menurut saintis Jabatan Perikanan Greece, Konstantinos Perdikaris, keadaan cuaca sejuk menghalang ikan-ikan berkenaan memasuki kawasan lebih dalam di lagun itu atau ke laut.
"Ikan-ikan tersebut mati akibat kejutan terma," katanya.
Lagun berkenaan mengandungi kira-kira 600,000 ikan pelbagai spesis.