Ribuan berkumpul di luar Parlimen UK, desak gencatan senjata di Gaza

Bernama
November 16, 2023 19:21 MYT
Orang ramai turut mengecam ahli politik yang enggan menyeru gencatan senjata di wilayah yang terkepung, di mana angka kematian kini telah melebihi 11,000 orang. - Gambar/ Reuters
LONDON: Orang ramai berkumpul di luar Dewan Parlimen di London pada Rabu menuntut agar Ahli Parlimen mengundi menyokong gencatan senjata di Semenanjung Gaza.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan ketika Ahli Parlimen mengundi usul yang dicadangkan oleh Parti Kebangsaan Scotland (SNP), sama ada menyokong gencatan senjata di Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Usul berkenaan menyeru kerajaan untuk bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa mendesak semua pihak yang berkaitan supaya bersetuju dengan gencatan senjata segera.
Penunjuk perasaan mula tiba di kawasan Parlimen pada kira-kira jam 5 petang waktu tempatan bagi menghadiri "himpunan kecemasan" yang dianjurkan satu gabungan.
Gabungan sama telah menganjurkan demonstrasi besar-besaran pro-Palestin setiap minggu.
Sambil mengibarkan bendera Palestin, orang ramai turut mengecam ahli politik yang enggan menyeru gencatan senjata di wilayah yang terkepung, di mana angka kematian kini telah melebihi 11,000 orang.
"Saya tidak mempunyai perkataan sesuai untuk menggambarkan kelemahan moral mana-mana Ahli Parlimen yang hari ini mengundi menentang gencatan senjata," kata pengarah Kempen Solidariti Palestin (PCS), Ben Jamal ketika perhimpunan itu.
Usul yang menggesa gencatan senjata "segera" di Gaza itu telah ditolak dengan undian 294-125.
-- BERNAMA
#Perang Palestin-Israel #United Kingdom #tunjuk perasaan #genjatan senjata
;